Kerajaan Haramkan, Terapi Ozon Boleh Bawa Maut

Kementerian Kesihatan memutus untuk mengharamkan rawatan terapi ozon di semua pusat kecantikan dan klinik kerana boleh menyebabkan komplikasi perubatan sehingga menyebabkan kematian.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata penilaian yang dijalankan oleh Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan KKM (MaHTAS) mendapati tiada sebarang kebaikan diperolehi pesakit yang menjalani rawatan tersebut, sebaliknya hanya membahayakan nyawa, lapor BH.

Tambahnya, segala kelengkapan seperti mesin yang digunakan untuk rawatan itu juga tidak didaftarkan di bawah Pihak Berkuasa Peranti Perubatan.

“Saya beri tempoh sehingga 1 Julai ini kepada semua pembuat, pengimport atau yang meletakkan mesin berkenaan di dalam pasaran untuk menarik balik mesin berkenaan.

“Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan undang-undang dan didenda sehingga RM200,000 atau penjara tiga tahun penjara atau kedua-duanya,” tegas beliau ketika ditemui media.

Dr. Subramaniam turut menjelaskan, mereka yang menerima rawatan berkenaan berisiko untuk mengalami pendarahan kerana menggunakan heparin iaitu ubat bagi mencairkan darah.

“Selain itu, mereka juga akan mengalami embolism atau penyekatan salur darah oleh gelembung udara, jangkitan kuman dari alatan yang tidak disteril, serta hilang upaya kekal akibat kegagalan organ seperti buah pinggang,” jelasnya.

Beliau turut berkata, dakwaan rawatan terapi ozon boleh melambatkan penuaan, meningkatkan tenaga dan memutihkan kulit adalah tidak benar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!