Subsidi Ubat RM49 Hingga RM69 Bagi Setiap Pesakit

BUTTERWORTH – Kerajaan memberi subsidi bagi ubat-ubatan bernilai antara RM49 hingga RM69 bagi setiap pesakit, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

 

Beliau berkata bagi sebagai contoh seorang pesakit yang menghidap kencing manis, darah tinggi dan sakit sendi, mereka mendapat enam jenis ubat yang bernilai kira-kira RM37 jika mendapatkan rawatan di klinik swasta.

 

“Nilai ubat ini belum termasuk caj perundingan doktor dan makmal. Jika dicampur semua, secara purata caj yang perlu dibayar ialah antara RM50 dan RM70 untuk setiap pesakit. Tapi kerajaan hanya mengenakan caj RM1 sahaja,” katanya kepada pemberita selepas melawat Klinik Kesihatan Seberang Jaya, di sini hari ini.

 

Dr Subramaniam berkata setiap ubat akan dilabel dengan harga kos kerajaan tetapi pesakit tidak membayar untuk ubat berkenaan sekadar untuk mengetahui nilai ubat-ubatan yang diterima.

 

“Kalau beli di luar, harganya ialah kira-kira lebih 30 peratus. Contoh ubat yang sama bernilai RM37 (di klinik kerajaan), tapi kalau di luar ia bernilai RM50,” katanya.

 

Dr Subramaniam berkata rakyat perlu sedar iaitu jika kos di klinik kerajaan adalah antara RM60 dan RM70, tetapi nilai sebenar di hospital swasta adalah RM100, dan itu adalah jumlah yang dapat mereka jimat serta memanfaatkan golongan kurang berupaya.

 

Tambahan pula, katanya masa menunggu juga dapat dikurangkan dan setiap pesakit mengambil masa dua jam untuk selesai menjalani rawatan dari perundingan doktor, makmal dan mengambil ubat.

 

Mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP), beliau berkata walaupun terdapat peningkatan kos ubat-ubatan ekoran kos pengangkutan, namun kerajaan akan menyerap kos itu dan tidak membebankan rakyat.

 

Beliau berkata kerajaan membina kompleks besar seperti Klinik Kesihatan Seberang Jaya yang menerima 600 hingga 800 pesakit setiap hari dan ia telah memberi manfaat kepada rakyat. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!