Pertandingan Tiga Penjuru Untuk Jawatan Presiden PAS

KUALA LUMPUR – Jawatan Presiden Pas, buat pertama kali akan dipertandingkan yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara tiga pemimpin utama parti itu.

 

Penyandang jawatan tersebut, Datuk Seri‎ Abdul Hadi Awang dijangka bakal ditentang bekas Naib Presiden, Ahmad Awang dan Naib Presiden, Datuk Husam Musa.

 

Namun, pertandingan tiga penjuru ini hanya akan berlaku sekiranya calon-calon yang disenaraikan layak bertanding menerima pencalonan tersebut.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat, Asmuni Awi dalam sidang media hari ini memberitahu, dua calon yang layak ini perlu menghantar borang persetujuan kepada beliau selewatnya 19 Mei ini.

 

Menurut Asmuni, seorang lagi calon yang dicalonkan tidak layak bertanding kerana hanya mendapat satu pencalonan sahaja.

 

“Kalau nama tak ada dalam senarai ini maksudnya dia dapat satu pencalonan. Kalau lebih dari satu pencalonan, saya letak di sini (dalam senarai),” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditanya kemungkinan satu lagi nama yang dicalonkan adalah Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

 

Sementara itu, jawatan bagi Timbalan ‎Presiden Pas, empat calon disenaraikan layak iaitu penyandang, Mohamad Sabu; Tuan Ibrahim; Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Husam.

 

Manakala dua belas calon layak bertanding bagi jawatan Naib Presiden antaranya Tuan Ibrahim, Husam, Salahuddin Ayub, Datuk Mahfuz Omar, Mohd Amar, Nasaruddin Hassan, Datuk Iskandar Abdul Samad, Mohamad Sabu dan Dzulkefly Ahmad.

 

Menurut Asmuni, mana-mana calon yang dicalonkan untuk lebih daripada satu jawatan, boleh bertanding kesemua jawatan‎ tanpa ada had jumlah jawatan yang dipertandingkan.

 

Kesemua calon perlu mengemukakan jawapan kepada pihaknya melalui pos atau serahan tangan selewat-lewatnya 19 Mei dan cara serahan lain tidak akan dilayan. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.