‘PasMa Takkan Kekal Lama, Sejarah Dah Buktikan’, Kata Pemimpin PAS

SHAH ALAM – Jika sebelum ini, ada pihak yang mengatakan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) ‎tidak akan bertahan lama jika membentuk parti politik, kini pendapat itu turut disokong, Timbalan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

 

Menurutnya, kumpulan yang ditubuhkan atas dasar tidak puas hati dengan Pas itu akan berkubur dan ianya terbukti melalui sejarah apabila parti yang ditubuhkan sebelum ini telah pun lenyap.

 

‎”Sejarah mengajar dalam Pas sendiri kita lihat pernah wujud individu-individu dan juga kumpulan-kumpulan yang akhirnya habis begitu sahaja. Dulu ada Berjasa (Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia), Hamim (Parti Hizbul Muslimin Malaysia) dan seumpamanya.

 

“(Pasma?)…‎Saya melihat apabila isu Pasma ini ditimbulkan…Pas ditubuhkan atas dasar kesedaran. Kesedaran untuk memastikan negara ini dibebaskan dari belenggu penjajah, dijaga dari segi nilai-nilai Islamnya.

 

“Oleh sebab itulah, Pas ini boleh bertapak sehingga hari ini. Kumpulan yang ditubuhkan atas dasar tak puas hati…tak puas hati terhadap pimpinan, pendekatan, strategi…ia hanya bersifat sekejap sahaja,” katanya kepada Sinar Harian dalam lawatan ke Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini, hari ini.

 

Muhammad Khalil berkata demikian ketika mengulas soal perpecahan yang berlaku dalam gerakan Islam itu yang menjadi perbuatan hangat hingga hari ini.

 

Sebelum ini, Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman dalam nada sinis mengalu-alukan penubuhan parti baharu Pasma dan turut menyifatkan tindakan itu akan hanya menyebabkan Pasma berdepan risiko cepat mati.

 

Dalam kenyataan terdahulu, Presiden Pasma, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, pihaknya sedia mempertimbangkan untuk mengubah statusnya kepada sebuah parti politik berikutan kemelut dalam PR semakin kritikal.

 

Sementara itu, Muhammad Khalil melahirkan keyakinan bahawa perpecahan yang berlaku dalam Pas tidak serius sebaliknya mematangkan lagi ahli-ahli parti itu.

 

“‎Saya percaya apa yang berlaku dalam Pas ini adalah satu perkara yang lumrah. Mana-mana organisasi berlaku krisis, percanggahan pendapat dan seumpamanya.

 

“Apa yang penting ialah bagaimana kami mengurus perbezaan pendapat, pandangan dan juga arus-arus pemikiran yang wujud dalam Pas.

 

“Insya-ALLAH, saya percaya bahawa apa yang berlaku ini tidak akan wujud perpecahan yang serius tapi akan mematangkan lagi Pas,” katanya.

 

Menurutnya lagi, kewujudan Majlis Syura Ulama menjadi pengikat kepada semua pimpinan Pas untuk terus berada di landasan perjuangan yang sebenar.

 

“Alhamdulillah kami mempunyai satu sistem yang boleh mengurus dengan baik walaupun tidak sempurna. Sebagai contoh dengan kewujudan Majlis Syura Ulama yang memainkan peranan sangat penting untuk memastikan Pas terus berada di atas landasan dan prinsip Islam. Ini dijaga dalam Perlembagaan.

 

“Jadi, maknanya, mana-mana pemimpin Pas peringkat negeri, Pusat…kalau nak buat lari daripada prinsip dan dasar ini, tidak boleh kerana ia dijaga oleh Majlis Syura Ulama,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.