Calon Pemalu: Suhaimi Nafi Dakwaan Rafizi, Enggan Jawab Isu Peribadi

Permatang Pauh – Calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh, Suhaimi Sabudin menempelak dakwaan Setiusaha Agung PKR, Rafizi Ramli kononnya beliau hanya pandai senyum daripada menangani isu masalah rakyat.

 

Kata Suhaimi, sebagai Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh, beliau sudah lama berkhidmat melakukan berbagai kerja untuk rakyat.

 

 

Sehubungan dengan itu Suhaimi menegaskan tidak perlu untuk beliau menjawab soalan-soalan berbentuk serangan peribadi seperti beliau hanya pandai melemparkan senyuman untuk meraih undi.

 

“Saya dari segi politik sudah buat kerja lama. Soalan, masalah jawapan semua itu kita kena jawab.

 

“Apa yang patut kita jawab kita akan jawab tetapi isu-isu peribadi semua itu kita tidak akan jawab.

 

“Kita tidak mahu merapu. Kita cakap benda yang penting-penting sahaja,” jelas Suhaimi kepada pemberita ketika berkempen dari rumah ke rumah di Taman Baru di sini, hari ini.

 

Terdahulu, Rafizi dalam sidang media pada pagi Isnin mengkritik Suhaimi yang disifatkannya tidak tahu bagaimana untuk bertindak balas terhadap isu dan masalah yang dibangkitkan rakyat, terutama mengenai pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), sebaliknya hanya akan melemparkan senyuman sebagai reaksinya.

 

“Saya tidak pernah berjumpa dengan calon yang begitu pemalu, sukar untuk dengar suaranya kerana dia tidak banyak bercakap.

 

“Apa yang dilakukan hanya senyum sedangkan isu GST ini merupakan isu besar yang perlu ditangani,” kata Rafizi dalam kritikan berbaur serangan peribadi terhadap Suhaimi ketika tempoh berkempen bagi PRK Parlimen Permatang Pauh tinggal 2 hari sahaja lagi sebelum tamat tepat jam 12 malam, 6 May nanti.

 

Pada 7 May, hari mengundi bagi PRK Parlimen berkenaan akan mengambil tempat yang menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN, Suhaimi dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

 

PRK Parlimen itu terpaksa diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon bekas ahli Parlimennya Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan beliau hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

 

Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Mohd Azlan pada 2008.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.