Warga Emas Dibunuh Perompak

JEMPOL 3 Mei – Sekumpulan perompak bertindak ganas apabila menikam seorang warga emas meskipun dia telah merayu supaya tidak mengapa-apakan ahli keluarganya dalam kejadian pecah rumah di Taman Sri Mahsan, dekat sini pagi tadi.

Mangsa, G.Ravindran 57, yang ditikam di bahagian belakang badannya dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu dibawa ke Hospital Jempol untuk dirawat, namun menemui ajal ketika mendapat rawatan susulan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, dekat sini.

Menurut adik ipar mangsa, V. Guna, 48, ketika kejadian terdapat lapan orang anggota keluarga di dalam rumah tersebut yang terdiri daripada empat dewasa dan empat kanak-kanak termasuk bayi berusia tujuh bulan.

“Ketika kejadian abang ipar saya sedang menggunakan komputer di dalam sebuah bilik di bahagian belakang rumah.

“Dia terdengar bunyi bising dari pintu dapur dan segera keluar dari bilik tersebut. Ketika itu dia mendapati enam lelaki bertopeng sudah masuk ke dalam rumah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Nasib malang keluarga itu turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, L. Manickam yang turut melawat keluarga terbabit, di rumahnya di sini hari ini.

Jelas Guna, abang iparnya yang terkejut merayu kepada penjenayah agar tidak mencederakan ahli keluarganya dan memaklumkan bahawa mereka boleh mengambil apa sahaja barang di dalam rumah tersebut.

“Salah seorang perompak itu kemudiannya membawa mangsa ke ruang tamu rumah tersebut dan ahli keluarga lain diikat dan dikumpulkan di dalam sebuah bilik tidur.

“Suspek bertindak kejam apabila menikam bahagian belakang badan mangsa, kaki dan mengetuk kepalanya menggunakan parang,” ujarnya.

Guna berkata, selepas memukul mangsa salah seorang suspek telah memberikan air kepada mangsa sebelum mula menggeledah kediaman tersebut.

“Mereka telah mengambil barang kemas serta wang tunai yang jumlahnya masih belum dapat dipastikan. Selepas itu suspek melarikan diri menggunakan pintu belakang dan meninggalkan parang tersebut beberapa meter dari rumah,” katanya

Sementara itu Ketua Polis Daerah Jempol, Supritendan Hamzah Alias berkata, pihaknya telah menerima laporan dan sedang menjalankan siasatan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.