Tiada Gangguan Air, Kalau Kerajaan Selangor Benarkan Langat 2 Pada 2009

Putrajaya – Datuk Seri Najib Razak hari ini melabelkan pimpinan kerajaan negeri Selangor menggunakan pendekatan populis kerana menjadikan penduduk di Lembah Klang sebagai mangsa gangguan bekalan air di negeri itu.

Perdana Menteri berkata kerajaan pimpinan Pakatan Rakayat (PR) hanya menilai jangka masa pendek sehingga rakyat perlu berdepan masalah air, walaupun kerajaan persekutuan pernah mengemukakan penyelesaian melalui pembinaan Loji Langat 2 pada 2009.

“‎Contohnya masalah air di Lembah Klang. Ia contoh jelas dasar populis kerana cadangan kerajaan pusat pada 2009 ditolak kebenaran untuk membina Langat 2.

“(Kerajaan negeri) dakwa kononnya sudah cukup air di Lembah Klang. Ada bezanya air terawat dan tidak dirawat. Kalau tiada loji, tiada air terawat. Tiada air terawat kita tidak boleh bekalkan pada industri dan rakyat,” katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Penduduk di Lembah Klang baru-baru ini terjejas akibat gangguan bekalan air setelah paras air di beberapa empangan terus mencatatkan penurunan yang membawa kepada catuan air.

Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan catuan itu berakhir bermula 1 Mei ini setelah beberapa empangan mencatatkan peningkatan air terkumpul.

Najib berkata kerajaan persekutuan komited untuk menyelesaikan masalah air di Lembah Klang namun mendapat tentangan kerajaan negeri Selangor.

Katanya, rakyat mesti sedar dan jangan mudah terpengaruh dengan dasar populis yang diketengahkan PR supaya perkara sama tidak berulang.

“Hakikatnya ramai tidak faham. Bila tidak faham, kerajaan pusat dipersalahkan sedangkan kita boleh buktikan jika cadangan kerajaan pusat diterima kerajaan negeri, hari ini tiada masalah bekalan air di Lembah Klang.

“Jangan lihat jangka pendek semata-mata, tetapi pertimbangan mestilah berdasarkan apakah kebaikan kepada rakyat dan negara walaupun jangka pendek mungkin menghadapi kesukaran,” katanya.

Berucap di hadapan penjawat awam, Najib berkata Laporan Ketua Audit Negara perlu dipandang serius dan penambahbaikan perlu dilakukan agar segala kritikan dapat diperbaiki.

Katanya, mutu perkhidmatan awam juga perlu dipertingkatkan agar jangkaan rakyat dapatt dipenuhi dan diterima dengan lebih berkesan.

“Laporan Ketua Audit Negara perlu diberi perhatian cukup serius supaya tahun demi tahun, teguran demi teguran dalam laporan audit itu dapat kita kurangkan sehingga hampir tiada kritikan terhadap salah guna kuasa, penyelewengan dan kelemahan dalam pentadbiran kita.

“Pentingnya kita berikan keutamaan tentang keberhasilan. Ini faktor penting untuk memperkukuhkan perkhidmatan awam. Lakukan yang terbaik untuk rakyat. Apa juga jangkaan rakyat, perkhidmatan lebih cepat dan bertanggungjawab. Ini harus difikirkan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.