SOSMA Lemah – Rahim Noor

Kuala Lumpuir – Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA boleh mengekang kegiatan militan pada had-had tertentu, tetapi mempunyai kelemahan jika dibandingkan dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor, berkata ISA mempunyai unsur pencegahan di mana Ketua Polis Negara (KPN) mempunyai kuasa untuk menahan dalam tempoh tertentu.

Jelasnya, penahanan bukan sahaja disebabkan seseorang itu membuat sesuatu perkara tidak baik, tetapi pihak berkuasa turut memerhatikan perkembangan pergerakan militan itu.

“Di dalam SOSMA ini cuma boleh mengambil tindakan terhadap individu seperti kes terbaru ada kumpulan sudah melakukan sesuatu tindakan hendak pergi ke Syria dan terbabit dalam peperangan di sana dan ada yang telah terkorban.

“Apabila dia sudah dibawa ke mahkamah untuk dibicara, keperluan untuk membuktikan itu mesti melampaui keraguan. Bagaimana kuat kertas siasatan itu tetapi bila masuk mahkamah lain cerita.

“Dulu kita berjaya mengatasi pergerakan militan seperti Al-Ma’unah, Jemaah Islamiah (JI) dan al-Arqam. Mereka sangat kuat tetapi kita berjaya sapu bersih melalui undang-undang ini (ISA),” katanya.

Beliau ditemui selepas selesai mesyuarat Barisan Perpaduan Nasional yang terdiri daripada 60 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu, Bumiputera dan Islam yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abd. Hamid Mohamad.

Antara yang hadir dalam mesyuarat tersebut, bekas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd Ghazali Mohd Seth, bekas Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tan Sri Mohd Zaman Khan dan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali.

Kata Rahim, majoriti yang menghadiri mesyuarat berkenaan berpendapat undang-undang ISA perlu dihidupkan semula.

“Namakanlah apa sekalipun undang-undang ini, tidak semestinya ISA, tetapi isi kandungannya mirip kepada ISA, terutama unsur-unsur membolehkan pihak berkuasa menahan untuk pencegahan.

“Penahanan di bawah ISA ini lain daripada SOSMA,” tegasnya.

Beliau berpendapat, tidak kira ISA atau SOSMA wujud atau tidak, kumpulan militan tetap akan terus bergerak, tetapi sekiranya undang-undang seperti ISA boleh dihidupkan semula, langkah pencegahan mampu diambil dengan lebih cepat.

“Selagi ada orang Melayu yang beragama Islam di Malaysia ini, dan dengan adanya masalah-masalah di negara Islam di sana sini, akan ada pergerakan militan ini. Apabila kerajaan ambil tindakan sekarang dia redalah sedikit, bila kerajaan tidak ambil sebarang tindakan dia timbul balik. Jadi kita kena sentiasa mengawasi, itulah kebaikan ISA.

“ISA ini kita mengawasi dalam SOSMA pun itulah tugas cawangan khas memerhati, tetapi oleh sebab adanya peruntukan yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk menahan, pencegahan lebih cepat daripada tindakan,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau meramalkan sekiranya ada usaha untuk menghidupkan semula ISA, sudah pasti akan wujud tentangan kuat daripada kumpulan yang memperjuangkan hak asasi manusia.

“Hak asasi tidak boleh dengar cerita-cerita ini. Jadi itulah masalah sama ada kerajaan mampu menghadapinya atau tidak,” katanya.

Sebelum ini, Tan Sri Musa Hassan yang juga Bekas Ketua Polis Negara turut membangkitkan pandangan sama dan mempersoalkan keberkesanan SOSMA dalam mengekang aktiviti pelampau di negara ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.