Projek Disko Baldi Kembali Lagi

Kuala Lumpur – Kumpulan sketsa teater komedi, Projek Disko Baldi kembali lagi dengan sebuah persembahan lagu-lagu komedi dalam ‘Projek Disko Baldi Sings’ Mei ini.

Pemenang dua kali anugerah pilihan penonton dalam kategori teater Anugerah Seni BOH Cameronian ini bakal membuat pementasannya di Cabaret, PJ Live Arts, Jaya One pada 15 sehingga 18 Mei.

Persembahan 90 minit ini diterbitkan oleh Playground Productions dan diarahkan oleh Pengarah Artistiknya, Megat Sharizal.

Menurut Megat persembahan kali ini adalah khas buat peminat yang selama ini menyokong lagu-lagu komedi kami seperti Kimchi dan Highway.

“Persembahan ini akan memenuhi semua citarasa muzik- ada lagu K-Pop, rap, blues, rock dan macam-macam lagi.

“Kami amat bersyukur kerana dapat bekerjasama dengan pengarah muzik seperti Fadzly Razman, yang telah bertungkus-lumus memastikan persembahan ‘Projek Disko Baldi Sings’ ini berkualiti,” tambah Megat.

Projek Disko Baldi dianggotai oleh penggiat-penggiat teater seperti Ashraf Zain, Farah Rani, Iedil Putra, Redza Minhat, Shamaine Othman, Sherry Abdullah dan Tuan Faisal.

Persembahan ini akan menampilkan lagu-lagu komedi yang pernah didendangkan pada pementasan-pementasan lepas seperti Projek Disko Baldi, Projek Disko Baldi in Love dan Projek Disko Baldi Dreams serta empat lagu baru.

Waktu pementasan dibahagikan dua bahagian iaitu 15 sehingga 17 Mei pada jam 8.30 malam manakala 17 hingga 18 Mei dipentaskan pada 3.00 petang.

Tiket dijual boleh didapati pada harga RM55 dan boleh layari www.tix.my atau hubungi 017-2289 849 untuk maklumat lanjut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.