PRK Bukit Gelugor Medan PAS Jelaskan Hudud

Putrajaya – PAS seharusnya menjadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor sebagai medan terbaik untuk menjelaskan undang-undang hudud yang diperjuangkan oleh mereka.

Malah, Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao mencadangkan PAS bukan sahaja menjelaskan mengenai hudud, tetapi turut bertanding dalam PRK Bukit Gelugor untuk melihat penerimaan masyarakat Cina terhadap agenda Islam yang dibawa oleh parti itu.

“Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sering berkata, letaklah bendera apa sekalipun mereka tetap akan menang, jadi letaklah PAS bertanding di PRK Bukit Gelugor.

“Ini adalah satu landasan dan platform terbaik untuk PAS menjelaskan apa itu hudud dan kebaikannya kepada kaum Cina di Bukit Gelugor dan Teluk Intan.

“Dengan pengundi Cina sekitar 71 peratus, saya minta (Timbalan Presiden PAS) Mat Sabu ambil peluang ini, ambillah kerusi Bukit Gelugor, bertandinglah dan jelaskan kepada kaum Cina apa itu hudud,” katanya.

Tegas Ramesh, Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng juga tidak boleh dengan angkuh membuat kesimpulan seluruh masyarakat Cina menolak hudud selagi mereka tidak diberi peluang untuk memilih.

Beliau ditemui pemberita selepas menyerahkan surat kepada Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) memohon penjelasan terperinci berhubung status Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP.

Menurut Ramesh, berdasarkan surat yang dikeluarkan oleh ROS Disember lalu, jelas menegaskan DAP tidak boleh membuat sesuatu keputusan atau menandatangani ataupun apa-apa sahaja tindakan disebabkan CEC tidak diiktiraf oleh ROS.

“Kami datang untuk menghantar surat rasmi kepada ROS bagi memohon penjelasan status DAP bolehkah mereka bertanding di PRK Bukit Gelugor dan Teluk Intan?

“Mahu atau tidak ROS kena jawab sebelum penamaan calon. Kita tidak mahu orang tuduh kerajaan tidak bersikap adil dengan DAP, berlaku pembatalan calon dan memberi kemenangan percuma kepada Barisan Nasional. Perkara ini kita tidak mahu lihat, kita hendak pertandingan yang sihat dan bersih,” katanya.

Tambah Ramesh, terdapat ‘Team B’ dalam DAP yang sudah mula memberontak dan mempersoalkan mengapa memilih calon di kalangan keluarga pemimpin parti itu.

“Tiada ahli lain yang lebih layak dalam DAP untuk jadi calon Bukit Gelugor? Kenapa anak Karpal?

“Saya hanya menyampaikan apa yang disuarakan oleh Team B yang tidak puas hati dengan DAP sendiri, jadi bagilah peluang PAS bertanding,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.