PM Ziarah Jenazah Bekas ADUN Hulu Bernam

Hulu Selangor – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menziarah jenazah bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam Datuk Mohammed Idris Abu Bakar di kediamannya di Kalumpang, dekat sini.

Najib tiba di kediaman Allahyarham pada 12.40 tengah hari dan meluangkan masa kira-kira 20 minit.

Antara yang turut menziarahi jenazah ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Menteri Pendidikan II, P.Kamalanathan, Wakil Khas Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Seri Jamaluddin Jarjis dan Pengerusi UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar.

Menurut adik ipar Allahyarham, Mohd Nizar Mohd Nazir, Mohammed Idris, 68, menghembuskan nafas terakhir kita-kira 2 pagi tadi di Hospital Pakar KPJ Damansara di Petaling Jaya akibat pelbagai komplikasi penyakit termasuk barah usus.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Norliah Mohd Nazir, 58, dan lima orang anak terdiri daripada dua lelaki dan tiga perempuan.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Kalumpang selepas solat Zuhur.

Selain pernah berkhidmat sebagai ADUN, Allahyarham Mohamed Idris juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor bagi tempoh 1998 hingga 2013 dan pernah menjadi Ketua Pemuda Selangor sejak 1990 hingga 1993.

Najib ketika ditemui pemberita, menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang sangat merendah diri dan peramah.

“Allahyarham juga seorang anggota parti yang setia,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.