Penyu Sekat Hajat Besar Red Giants

SHAH ALAM – Hajat besar Selangor untuk muncul pendahulu baharu Liga Super terbantut selepas sekadar seri tanpa jaringan menentang Terengganu di Stadium Shah Alam semalam.

Gagal mengutip tiga mata penuh di depan penyokong sendiri menyebabkan anak-anak buah Mehmet Durakovic te­rus menghuni tangga kedua dengan berkongsi 28 mata bersama peneraju liga, Pahang tetapi dipisahkan menerusi perbezaan gol.

Malah semalam, tuan rumah hampir dikejutkan pelawat yang memperoleh peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-20, namun sepakan percuma Ismail Faruzi Ashari yang ditanduk cantik pemain import, Mustapha Dabo berjaya ditampan oleh penjaga gol Selangor, Farizal Marlias.

Sembilan minit kemudian, Terengganu melakukan satu lagi percubaan dari luar kotak penalti namun sepakan lencong Ismail Faruzi gagal menemui sasaran.

Seminit kemudian tuan rumah cuba memecah kebuntuan apabila kapten Bunyamin Umar melakukan percubaan dari dalam kotak penalti hasil hantaran A. Thamil Arasu namun mudah diselamatkan Shamirza Yusoff.

Minit ke-35, Javier Andres Estupinan cuba mencari gol pertama namun tandukannya sekadar melepasi palang sebelum kapten Mohd. Norfarhan Muhammad melakukan satu lagi hantaran silang seminit kemudian namun berjaya ditampan keluar oleh penjaga gol.

Javier Andres sekali lagi mencemaskan gawang tuan rumah menerusi rembatan jarak dekat dari sudut kanan pada minit ke-48 sebelum melakukan percubaan deras dari jarak 30 meter namun berjaya di­selamatkan Mohd. Farizal.

Terengganu sekali lagi mengasak kubu pertahanan Selangor pada minit ke-56 menerusi hantaran silang Mohd. Norfarhan namun gagal disempurnakan rakan sepasukan apabila Mohd. Farizal bijak membaca gerakan pasukan pelawat.

Pasukan tuan rumah cuba menembusi benteng pertahanan pelawat menerusi Thamil Arasu pada minit ke-58 tetapi percubaannya melepasi palang dan percubaan Mohd. Rizal Fahmi dari luar kotak penalti sepuluh minit kemudian turut tersasar.

Selangor sekali lagi gagal memanfaatkan peluang berharga apabila sepakan percuma Paulo Rangel pada minit ke-75 juga melewati palang sebelum tandukannya pada minit ke-88 mudah diselamatkan Mohd. Shamirza.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.