Penahanan 11 Militan Tiada Kaitan Dengan Kehilangan Pesawat MH370

“Semua itu mengarut. Ia tidak ada kaitan dengan penerbangan MH370,” tegas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berhubung laporan akhbar berpangkalan di United Kingdom, Daily Mail yang mendakwa 11 militan ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) minggu lalu ada kaitan dengan misteri kehilangan penerbangan MH370.

Dalam operasi sejak Isnin lalu, seramai 11 individu dipercayai anggota militan termasuk dua wanita diberkas pihak polis di beberapa lokasi berasingan di Kuala Lumpur, Kedah dan Selangor.

Menurutnya, polis masih melakukan siasatan dan melihat kemungkinan kumpulan militan terbabit turut cuba menarik minat pelajar asing menyertai kegiatan itu melalui media sosial.

“Semua individu tempatan yang ditahan itu membabitkan aktiviti militan itu tiada kaitan dengan kehilangan MH370,” katanya.

Daily Mail dalam laporannya semalam melaporkan 11 individu yang ditahan PDRM itu berkaitan gerakan al-Qaeda dan disiasat sama ada mempunyai hubungan dengan kehilangan penerbangan MH370.

Semua suspek yang ditahan itu dipercayai kumpulan pengganas baru yang merancang melakukan serangan bom di negara-negara Islam.

Akhbar itu turut mendakwa kumpulan pegawai penyiasat daripada badan siasatan antarabangsa, termasuk FBI dan MI6 akan menyiasat semua individu militan berusia 22 hingga 55 tahun termasuk pelajar, buruh, janda muda dan ahli perniagaan berkaitan penerbangan MH370 itu.

Keyakinan dakwaan wujud pembabitan militan muncul selepas penerbangan MH370 masih gagal dijejaki selepas dua bulan kehilangannya.

 

Akhbar itu mendakwa seorang pegawai daripada bahagian Anti Pengganas Cawangan Khas berkata, penahanan (militan) itu meningkatkan kerisauan kehilangan penerbangan MH370 berkaitan dengan pengganas.

“Kemungkinan pesawat dirampas masih tinggi dan penyiasat antarabangsa meminta laporan penuh mengenai kumpulan pengganas ini,” katanya.

Dalam temu bual dijalankan akhbar itu setakat ini, beberapa suspek mengaku merancang ‘ kempen keganasan’ di Malaysia, tetapi menafikan terbabit dengan kehilangan pesawat itu.

Akhbar berkenaan juga mengatakan bahawa semasa perbicaraan anak Osama Laden, Sulaiman Abu Ghaith dan menantunya, Saajid Badat, mereka mendakwa mereka diarahkan untuk memberi bom kasut kepada rakyat Malaysia di kem latihan pengganas di Afghanistan.

Saajid memberitahu mahkamah New York bahawa plot pengganas di Malaysia didalangi Khalid Sheikh Mohammed, iaitu ‘arkitek’ utama kejadian 9 September 2011.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.