Mesyuarat Pakatan Esok, Bincang Jawatankuasa Hudud PAS Dengan BN

Shah Alam – Mesyuarat Pakatan Rakyat (PR) yang dijadual diadakan esok dijangka membincangkan rancangan PAS melaksanakan hudud di Kelantan termasuk inisiatif parti itu menubuhkan jawatankuasa teknikal hudud bersama Kerajaan Pusat.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md. Akin berkata, setakat ini PAS tidak memaklumkan terlebih dahulu kepada parti komponen PR berhubung kerjasama PAS dengan kerajaan UMNO-BN itu.
“Ini insiatif kerajaan negeri, maka PR tidak tahulah.
“Pada pandangan kita, ini inisiatif kerajaan negeri dengan Kerajaan Pusat semata-mata. Ia tidak dibawa lagi dalam Mesyuarat Pakatan Rakyat. Saya fikir pada mesyuarat PR pada Selasa ini, tentunya hal ini akan dibincangkan lebih lanjut,” katanya kepada Antarapos.
Walaupun PR jelas dengan pendirian mereka berhubung isu hukum hudud namun Shamsul berkata, tidak timbul isu membelakangkan kepentingan bersama di antara PAS-PKR-DAP berhubung tindakan kerajaan negeri itu.
“Tidak ada isu membelakangkan. Kita akan bincang secara terperinci inisiatif kerajaan negeri Kelantan di dalam PR. Kita jelas berpegang kepada pendirian asal. Oleh kerana ada perkembangan terbaharu, mungkin akan dibincangkan lebih teliti nanti,” ujarnya.
Naib Presiden PKR, R. Sivarasa juga memberitahu terpulang kepada kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub untuk mengambil sebarang langkah yang difikirkan perlu bagi merealisasikan matlamat utama PAS itu.
Bagaimanapun dalam masa sama, beliau berkata, beberapa pihak di dalam PR masih tidak mengetahui hal itu.
“Jika kerajaan Kelantan nak berbincang aspek teknikal dengan kerajaan pusat, saya tiada masalah.
“Mungkin ada yang tahu, mungkin ada yang tidak tahu. Saya sendiri tidak tahu, tapi ia tidak mustahak,” demikian menurutnya.
Pada 3 Mei lalu, Kerajaan PAS Kelantan dengan Kerajaan Pusat menubuhkan jawatankuasa teknikal berkenaan yang dianggotai oleh wakil Kerajaan Persekutuan dan PAS bagi menyemak peruntukan undang-undang sedia ada ke arah pelaksanaan hukum tersebut.
Penubuhan tersebut adalah hasil daripada pertemuan di antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir mewakili kerajaan manakala Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Amar Abdullah mewakili kerajaan negeri bagi membincangkan isu pelaksanaan undang-undang jenayah Islam atau hudud di negeri itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.