Lagi 102 Pro Mursi Dipenjara 10 Tahun

KAHERAH – MESIR. Sebuah mahkamah Mesir menjatuhi hukuman 10 tahun penjara terhadap 102 penyokong Presiden yang digulingkan Mohammad Mursi kerana mencetuskan keganasan dan memiliki senjata api haram.


Media melaporkan, kesemua mereka yang juga ahli Ikhwanul Muslim kekal berada di bawah pengawasan polis selama lima tahun selepas hukuman penjara itu.

Kesemua mereka bersalah mencetuskan protes mega hingga membawa kepada rampasan kuasa tentera Julai tahun lalu.

Isnin lalu, mahkamah sama menjatuhi hukuman mati terhadap 680 penyokong pro Mursi dan keputusan terbabit telah mencetuskan bantahan di peringkat antarabangsa.

Bulan lalu, sebanyak 130 penyokong pemimpin itu juga berhadapan hukuman mati selepas dituduh mendalangi pemberontakan 2011 yang membawa kepada penyingkiran bekas presiden Hosni Mubarak.

Dalam perkembangan berasingan, kaji selidik Baseera di bawah program Yahdoth fi Misr menunjukkan, bekas ketua tentera Abdel- Fattah Al-Sisi meraih 72 peratus undian popular berbanding pesaingnya, Hamdeen Sabahi dengan 2 peratus, 22 peratus masih belum memilih, tiga peratus enggan memberi respons dan satu peratus berhasrat membatalkan undian mereka.

Keputusan kaji selidik turut menunjukkan, sebanyak 85 peratus responden memutuskan untuk mengundi, 10 peratus tidak dan 5 peratus belum membuat keputusan.

Menurut laporan Al Ahram, keputusan terbabit adalah petunjuk penting sebelum pilihan raya presiden dijadualkan 26 dan 27 Mei ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.