Kemelut Hudud Kelantan, DAP Dijangka Tinggalkan Pakatan

Shah Alam – DAP berkemungkinan akan mengulangi sejarahnya dengan meninggalkan gabungan Pakatan Rakyat (PR), sama seperti yang pernah dilakukan ketika bersama Barisan Alternatif (BA), kata bekas Naib Pengerusi DAP, Zulkifli Mohd. Noor.

Kata Zulkifli, perkara itu tidak mustahil akan berlaku memandangkan DAP dan salah satu rakan komponennya dalam BA dan PR, iaitu PAS, tidak mempunyai haluan perjuangan yang sama.

Tambahnya, perbezaan perjuangan antara kedua-dua parti itu bukanlah perkara baru kerana bibit-bibit perpecahan sudah lama wujud, malah hanya menunggu masa untuk mengulangi sejarahnya dengan meninggalkan gabungan pembangkang tersebut.

“Situasi sekarang ini bukan retak menanti belah, malah sudah terbelah pun.. hanya menanti pengiktirafan saja. Pengiktirafan bahawa mereka (Pakatan) ini tak pernah bercantum.. tak pernah bekerja sama,” katanya kepada Antarapos.

Sebelum ini, DAP bertindak mengundurkan diri daripada gabungan Barisan Alternatif (BA) apabila tidak sependapat dengan PAS yang mahu meneruskan perjuangan membentuk Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Pengunduran DAP daripada BA pada September 2001 itu diputuskan setelah Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti dominasi Cina itu yang beranggapan sudah tidak ada keperluan untuk bersama gabungan berkenaan setelah penyelesaian berhubung negara Islam gagal dicapai.

Kini setelah 13 berlalu, isu yang sama menyelubungi DAP dan PAS, di mana PAS bertekad mahu melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Malah, veteran DAP, Lim Kit Siang juga memberi bayangan bahawa kemungkinan PR akan berpecah jika hudud menjadi satu isu besar.

“Jika hudud menjadi isu besar, Pakatan mungkin mengikut langkah seperti Barisan Alternatif,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Zulkifli dalam pada itu juga membidas beberapa pemimpin Islam dalam DAP yang hanya mengambil sikap berdiam diri berhubung isu tersebut.

Katanya, sebagai umat Islam, pemimpin-peminpin berkenaan seharusnya bersuara dan menegakkan pendirian masing-masing bagi menunjukkan pendirian sebenar mereka, dan bukannya tunduk dengan prinsip parti.

“Adakah mereka ini memperhambakan diri mereka kepada Allah atau adakah mereka memperhambakan diri kepada tokong. Sebagai orang Islam, kita wajib memperhambakan diri kepada Allah, bukan kepada tokong,”luahnya beremosi.

Mengulas lanjut kata Zulkifli, walaupun sejarah sebelum ini memperlihatkan DAP yang memulakan langkah dengan menarik diri, namun katanya, PAS adalah pihak yang perlu berbuat demikian.

“Pada saya, kemungkinan besar sekiranya PAS teruskan (dengan hudud), DAP akan keluar Pakatan Rakyat (PR). Tapi adalah lebih baik biar PAS yang tarik diri kerana dia yang bentangkan hudud, dan rakan komponennya tak sesuai, dia boleh tarik diri sekarang

“Apabila ianya tidak mendapat kepentingan ataupun perjuangan itu tidak memihak kepada DAP, dia tak akan bekerjasama dengan siapa-siapa pun,”katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.