‘Istana Segambut’ Hilang Sokongan?

Kuala Lumpur – Keputusan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) setakat ini menunjukkan pengaruh kerabat ‘Istana Segambut’ iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah Anwar semakin hilang sokongan dalam parti.

Presiden Pertubuhan Hak Belia Malaysia Shen Yee Aun mendakwa, majoriti ahli PKR tidak menyokong calon yang direstui Istana Segambut untuk merebut jawatan Timbalan Presiden parti iaitu Datuk Saifuddin Nasution.

“Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa Mohamed Azmin Ali tidak lagi mendapat sokongan daripada ahli ‘Istana Segambut’ dalam pemilihan kali ini.

Tindakan Anwar untuk bertanding jawatan nombor satu parti adalah satu langkah untuk menyekat kemaraan kuasa dan pengaruh Azmin.

“Sekatan halus ini akhirnya menyebabkan Azmin terpaksa berlawan dalam posisi nombor dua parti.

“Anwar pula mencaturkan anak perempuannya Nurul Izzah dan anak didik barunya Rafizi Ramli untuk membantu Saifuddin berdepan Azmin.

“Malangnya, strategi dan rancangan awal Anwar dan Rafizi kini tidak bergerak seperti mana yang diharapkan mereka,” kata Shen seperti dilapor Mingguan Malaysia.

Menurut Shen, jumlah undi yang diterima Azmin sebanyak 5,111 dan seorang lagi pesaing Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebanyak 2,228 jika digabungkan merangkumi lebih 75 peratus undi berbanding Saifuddin hanya menerima sebanyak 2,322 undi.

Bagaimanapun, sekiranya undi Abdul Khalid dan Saifuddin bergabung (4,610), angka ini masih lagi jauh dibelakang Azmin.

Melihat kepada perkembangan ini, Shen tidak menolak kemungkinan terdapat pihak berkuasa dalam PKR, cuba untuk menjadi dalang mensabotaj pemilihan PKR dan akhirnya dikaitkan dengan Azmin.

“Strategi ini untuk menjejaskan kredibiliti dan imej Azmin dalam pemilihan parti yang masih lagi belum bermula di beberapa negeri lain.

“Sekiranya pada hampir pengakhiran pemilihan rancangan ini gagal, maka mereka mungkin akan menggunakan jawatankuasa pemilihan parti dengan alasan penipuan pemilihan untuk membatalkan kelayakkan Azmin untuk posisi nombor dua dalam parti.

“Strategi yang sama digunakan sebagai alasan kekalahan pakatan pembangkang kepada Barisan Nasional pada Pilihan Umum Ke-13,” kata beliau yang juga pengasas blog SYA For The Nation.

Sementara itu, Awang Selamat dalam ruangannya minggu ini menjangkakan walaupun terdapat pelbagai aduan penipuan dalam pemilihan parti yang didakwa angkara puak Azmin, ahli Parlimen Gombak itu akan berjaya mengekalkan jawatannya itu disebabkan pengaruhnya yang masih kuat dalam parti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.