Hudud: Tiada Agenda Sulit

KOTA BHARU – Tiada agenda sulit di sebalik persefahaman Pas dan Umno dalam isu hudud, tegas Timbalan Menteri Besar Kelantan,Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Mohd Amar yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkata, tindakan Pas yang berkompromi dengan Umno tidak lebih bagi memastikan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) dapat direalisasikan setelah 20 tahun ia tertangguh.

“Itu (dakwaan) mengarut, saya menafikan ada pakatan (sulit) dan tuduhan tidak berasas, perbincangan Kelantan dan Pusat atas dasar hudud sahaja, tidak ada benda lain. Tidak terlintas untuk masuk BN.

“Apa salahnya sebagai orang Islam kita bekerjasama dalam menuntut hak ummah, lepas ni kita lawan balik, malah kita turun semasa demonstrasi perlaksanaan GST (cukai barangan dan perkhidmatan) walaupun ada perbincangan (bersama Pusat) mengenai  hudud, tindakan ini sangat jelas,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sebelum ini, sebuah blog pro PR mendakwa kesediaan Umno untuk menyokong perlaksanaan hudud Pas Kelantan itu dibuat bukan saja atas tanggungjawab bersama dari konteks Islam tetapi ia merupakan kerjasama politik.

Malah, tulisan itu mendakwa kerjasama yang tidak diketahui kerajaan Kelantan itu akan membawa dua ahli Parlimen Pas ke jawatan bertaraf menteri sekiranya projek hudud yang dibantu Umno ini berjaya dilaksanakan.

Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kanun Syariah (II) 1993 berkata, sejarah membuktikan Pas boleh berkompromi dalam isu yang bersabit tuntutan agama dan kepentingan ummah.

“Dulu masa Pas bergaduh dengan Umno, kerajaan menubuhkan Majlis Perundingan Ekonomi Negara, kita masuk secara rasmi dan bagi pandangan, begitu juga bekas Presiden Pas, Allahyarham Fadhil Nor juga pernah berada sepentas dengan (bekas Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memperjuang isu Palestin, ketika itu  kita juga tengah berlawan, tiada berbangkit soal nak bergabung,” katanya.

Ditanya dakwaan mengatakan Umno mendapat manfaat besar daripada sokongan orang Melayu dalam isu hudud, Mohd Amar berkata, pengundi tidak mudah terpengaruh dengan satu-satu isu, sebaliknya mereka akan membuat pertimbangan secara keseluruhan.

Menurutnya, Pas juga akan bersikap berhati-hati dalam isu hudud supaya tidak terperangkap dan menggerakkan agenda hudud dengan tersusun supaya pelaksanaannya licin dan berkesan kepada masyarakat.

“Apa niat (Umno) serah pada ALLAH SWT, kita akan berwaspada. Kalau orang tawar kita sambut. Sebelum ini kita bagi tahu rakyat Umno halang, tiba-tiba mereka hulur tangan.

“Kalau kita tak ambil peluang, rugi. Kita akan ambil risiko dan merancang strategi. Jika  pandai kita untung, jika tidak rugi.

Masing-masing rebut peluang. Jika kita pergi dengan perancangan  teratur, saya  yakin tidak akan diperangkap dengan permainan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.