Hudud Pakatan Rakyat Tidak Akan Berpecah

 

KOTA BHARU – Pas yakin polemik perlaksanaan hudud di Kelantan tidak akan menyebabkan mana-mana parti dalam PR keluar dari gabungan itu.

Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, melalui mesyuarat Majlis Setiausaha PR tiga hari lalu, semua pemimpin bersepakat untuk bersama mengurus isu tersebut.

“Kita putuskan tidak akan berpecah. Dalam mesyuarat tiga hari lepas kita bersetuju untuk memperkukuhkan PR, perbezaan pendapat mesti diuruskan. Jadi tak timbul isu Pas, PKR dan DAP bersendirian. Saya fikir risiko Umno lebih besar kerana mereka belum bincang dengan MCA dan Gerakan.

“DAP menolak atas dasar Perlembagaan tetapi tidak mencerca hudud. Kita akui ada perbezaan dalam PR kerana enakmen hudud wujud sebelum PR lagi tetapi kita saling hormat menghormati,” katanya selepas bertemu Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di kediamannya di Pulau Melaka, semalam.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang, mengakui tindakan DAP dan PKR menolak hudud kerana bimbang hilang sokongan pengundi, tetapi mereka juga perlu menerima hakikat rakyat Kelantan memberi mandat sehingga lima pilihan raya kepada Pas dan mahu hudud dilaksanakan.

Beliau berkata, sokongan penuh ahli Parlimen Umno dan empat ahli Parlimen daripada komponen BN cukup untuk meluluskan rang undang-undang persendirian yang dibawa, tetapi  Pas masih perlukan sokongan PKR dan DAP.

Katanya, ahli Parlimen Islam dari PR boleh menyokong secara peribadi pembentangan rang undang-undang terbabit walaupun parti yang mereka wakili mempunyai pendirian berbeza.

“Bukan empat kerusi sahaja yang kita mahu. Kita perlukan semua sokongan PKR, DAP dari Umno. Apa yang penting komitmen wakil rakyat Islam. Mungkin rakan-rakan wakil rakyat DAP Islam mahu sokong. Itu hak ahli Parlimen. Bagi Pas kita mahu semua Muslim dan bukan Muslim. Semua ini untuk atasi jenayah,” katanya.

Beliau mahu Kerajaan Pusat khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi perhatian pelaksanaan hudud di Terengganu kerana ia sudah diwartakan sejak 1993.

“Tidak ada makna warta tetapi tidak dikuat kuasa. Kita anggap Terengganu gagal pastikan apa yang diwartakan itu dilaksanakan. Di Kelantan walaupun Dun lulus enakmen hudud, ia belum diwartakan kerana memerlukan proses daripada Pusat. Jadi tidak ada tekanan berbanding Terengganu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.