GST Bukan ‘Government Service Tax’

 

SHAH ALAM – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa GST merupakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan bukannya cukai kerajaan seperti yang didakwa.

Menurutnya, peserta himpunan bantah GST pada 1 Mei lalu rata-rata tidak memahami apa itu GST.

“Bila mereka (peserta himpunan) ditanya, mereka tidak tahu. GST bagi mereka ialah ‘Government Service Tax’.

“Sedangkan GST yang diperkenalkan oleh kerajaan Persekutuan ialah Good Services Tax (Cukai Barangan dan Perkhidmatan),” katanya yang dipetik dalam portal berita N9kini.com.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan keraguan dan kemusykilan orang awam terhadap GST perlu diambil perhatian oleh pihak berkuasa.

“Ini merupakan satu perkara yang perlu dibuat pemahaman dan pencerahan oleh pihak berwajib.

“Sebenarnya kita menarik dua sistem cukai yang mana dulu cukainya amat tinggi, 10 peratus dan 6 peratus (cukai barangan dan perkhidmatan), kadang-kadang ia melebihi perkara yang sepatutnya dikenakan cukai,” katanya.

Tegas beliau, jika ada mana-mana pihak tidak berpuas hati, mereka perlu tampil dan memberi cadangan kepada kerajaan bukannya membuat protes di jalanan.

“Jika ada yang tidak berpuas hati, mereka perlu memberi cadangan dan pandangan kepada kerajaan, daripada kita memekak-mekak di tepi jalan menunjukkan protes. Ia secara tidak langsung memburukkan imej negara ini,” katanya.

Khamis lalu, satu perhimpunan membantah pelaksanaan GST di negara ini berlangsung di ibu kota.

Sehubungan itu, polis sedang menjalankan siasatan terhadap perhimpunan tersebut yang didakwa melanggar beberapa syarat Akta Perhimpunan Aman 2012.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.