Datuk Seri Najib Ketuai Kayuhan Peserta KL Pagi Bebas Kenderaan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan program KL Pagi Bebas Kenderaan adalah suatu senaman yang begitu hebat buat dirinya.

“Saya begitu seronok berbasikal dalam program ‘KL Car-Free Morning’ anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menyokong dasar kerajaan untuk mengurangkan 40 peratus pelepasan asap karbon dioksida menjelang tahun 2020,” kata Najib dalam status Facebook (FB) beliau semalam.

Di sebalik kesibukan tugasnya, Najib menggunakan kesempatan itu dengan mengetuai 10,000 peserta yang mula berkumpul di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) seawal jam 7 pagi.

Beliau yang lengkap berpakaian sukan turut sama berbasikal dan beramah mesra bersama peserta yang terdiri daripada pelbagai masyarakat berbilang bangsa, agama dan latar belakang yang sama-sama mengamalkan gaya hidup sihat.

Turut hadir, Timbalan Menteri Wilayah Pesekutuan Datuk Loga Bala Mohan Jaganathan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib yang melepaskan peserta di perkarangan pintu gerbang Bukit Bintang KLCC (BBKLCC).

Najib berkata, ia merupakan salah satu daripada inisiatif kerajaan dalam meningkatkan kesesuaian bandar raya Kuala Lumpur untuk didiami dan oleh itu semua orang perlu melakukan usaha secara kolektif bagi membantu mempromosikan ibu negara itu menjadi bandar lebih hijau.

Meskipun berlaku pertukaran laluan ekoran penggunaan Dataran Merdeka bagi sambutan Hari Bomba peringkat Malaysia, penganjuran program yang kini memasuki siri kelima itu mula menampakkan pertambahan jumlah peserta sejak mula dianjurkan pada Januari lalu.

Peserta bermula di BBKLCC Jalan P Ramlee dan menyusuri Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, kemudian melalui jalan di hadapan kompleks Maju Junction sebelum masuk semula ke Jalan Dang Wangi dan berakhir di BBKLCC.

Dalam pada itu, Ahmad Phesal ketika ditemui berkata, program bercirikan aktiviti riadah itu juga dianjurkan di tempat-tempat lain termasuk di Petaling Jaya, Selangor dan Kuantan, Pahang yang mulai sedar mengenai kepentingan penjagaan udara dan alam semula jadi.

Katanya, pihak DBKL selaku penganjur program itu berharap lebih ramai peserta yang akan hadir pada program yang dianjurkan pada hari Ahad pertama setiap bulan itu.

“Kita boleh lihat pertambahan peserta yang hadir, kita harap lebih ramai lagi yang akan datang sertai program ini.

“Selain beriadah, ia boleh dijadikan tempat perkumpulan untuk bertukar-tukar pandangan dan boleh menjadi suatu program yang sangat bermanfaat kepada semua peringkat masyarakat,” katanya.

Pada program itu, Ahmad Phesal turut menyampaikan 80 buah basikal kepada wakil-wakil Persatuan Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.