KUALA LUMPUR – Empat kerajaan negeri iaitu Pahang, Perak, Johor dan Terengganu yang terlibat secara langsung dengan pelaburan besar dari China dirayu agar mempercepatkan proses berkaitan pelaksanaan projek berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperincikan pelaburan China itu membabitkan empat negeri itu ialah dua di Pahang dan Tanjung Malim, Perak melibatkan pelaburan dari syarikat Zhejiang Geely Holding Group (Geely) manakala Rongsheng Petrochemical Co di Pengerang, Johor dan Terengganu.
Kata Anwar, beliau akan mempengerusikan mesyuarat khas untuk memastikan tindakan susulan selepas persetujuan pelaburan syarikat gergasi itu dapat disegerakan dan lebih berkesan.
“Apabila ia melibatkan kerajaan negeri, saya rasa perlu jika keadaan mendesak untuk saya dan rakan-rakan turun berbincang dengan kerajaan negeri terutama kerajaan negeri yang menerima sumbangan pelaburan besar dari China.
“Berita baik ialah salah satu projek itu akan dimulakan lebih awal dalam masa singkat, saya jangka selewat-lewatnya Mei ini, ia memberikan satu dorongan kepada pelaburan, selain daripada perjanjian persefahaman, iaitu pelaksanaan disegerakan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya pada Rabu.
Menerusi lawatan rasmi Anwar ke China minggu lalu, Malaysia meraih komitmen pelaburan tertinggi dalam sejarah iaitu berjumlah RM170 bilion daripada pelabur China, hasil pemeteraian 19 memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat Malaysia dengan China.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerjasama majlis-majlis perbandaran di negeri-negeri berkenaan juga harus dipastikan proses dipercepatkan supaya ia tidak menjadi masalah kepada syarikat-syarikat tersebut.
Walau bagaimanapun, beliau berkata, tindakan segera itu tidak boleh kompromi dalam pematuhan segala peraturan dan semua kajian daripada jabatan harus selesai tanpa mengambil masa yang terlalu panjang.
“Ini kerana dalam keadaan sekarang kita perlu memacu pelaburan lebih rancak,” katanya.