Memalukan, Kerajaan PH Beri Maklumat Tidak Tepat Hutang Negara Kepada PM

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa telah diberi maklumat dan data yang tidak tepat berhubung kedudukan hutang negara.

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, data Bank Negara Malaysia pada 31 Disember 2017 menunjukkan hutang negara berjumlah RM686.8 bilion dan keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) RM1.353 trilion.

Dari segi nisbah hutang negara dibanding dengan KDNK pada tahun 2017 adalah 50.7 peratus.

Ahli Parlimen Ayer Hitam dalam sidang akhbar di lobi Parlimen berkata, hutang negara pada 31 Disember 2018 meningkat kepada RM741.1 bilion dengan KDNK RM1.429 trilion.

Ini menunjukkan peningkatan KDNK negara kepada RM54 bilion.

“Ini bermaksud kalau ia dibandingkan dengan sebelum ini, berlaku peningkatan sedikit, yang tidak signifikan.

“Memandangkan KDNK secara keseluruhan setiap suku 2018, ia tidaklah serancak tahun sebelumnya, maka kita dapat menduga peningkatan KDNK tidak sebesar mana,” katanya.

Beliau yang juga Presiden MCA menambah, jika dibandingkan hutang negara RM741.1 bilion berbanding RM1.429 trilion adalah 51.8 peratus.

“Dulu 50.7 peratus, sekarang 51.8 peratus. Boleh tekan kalkalator. Itu satu kiraan yang senang.

“Ini menunjukkan bahawa data yang tidak tepat telah dimaklumkan Perdana Menteri, atau sumber yang tidak tepat daripada Kementerian Kewangan.

“Apa yang telah dijawab oleh Perdana Menteri pagi tadi adalah tidak tepat sama sekali. Jadi saya berharap Kementerian Kewangan berilah data yang tepat kepada Perdana Menteri. Kalau tidak memalukan.

“Sebab kerana peningkatan hutang dari 50.7 peratus kepada 51.8 peratus, itu adalah satu hakikat,” tegasnya sambil mengajar bagaimana mahu membuat pengiraan tersebut.

“Pengiraannya adalah 741.1 dibahagi dengan 1.429 jadi 51.8 peratus. Itu pengiraan matematik sangat senang, tak ada sebab mengapa boleh silap.

“Apabila jawapan itu dibuat di Parlimen, maka ia perlu dibetulkan. Ini adalah fakta,” katanya. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.