Manfaat Rakyat Undi BN

SANDAKAN – Sejak 15 tahun lalu, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong telah me­nerima peruntukan bernilai ratusan juta ringgit daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi tujuan pembangunan dan membela nasib rakyat yang memerlukan.

Meskipun kedudukan geografi DUN Sekong luas, namun pembangunan yang dibawa kepada setiap rakyatnya adalah sama rata tanpa ada yang tercicir kerana itu adalah janji daripada BN sejak memerintah negeri ini.

DUN Sekong meliputi tanah besar dan pulau yang mempunyai 14 kampung iaitu Tronglit, Trongliman, Bambangan, Shanghai, Baru, Terusan Baru, Sirabut, Jerman, Upat, Asam Manis, Simagun, Simurah, Api-Api dan Timbang.

Selain itu, satu lagi kawasan di bawah DUN Sekong adalah Segaliud, yang terletak kita-kira satu jam perjalanan dari pekan utamanya.

Anggota Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Sekong, Datuk Samsudin Yahya berkata, kawasan itu kini mempunyai dua Projek Perumahan Rakyat (PPR) iaitu PPR Lintas Sibuga sebanyak 500 unit dan PPR Taman Batu Sapi berjumlah 180 unit, manakala tambahan 320 unit bagi PPR Batu Sapi sudah diluluskan dan hanya menunggu masa untuk dilaksa­nakan.

“DUN Sekong memerlukan se­kurang-kurangnya 2,000 unit ru­mah PPR lagi dalam usaha membersihkan lapan penempatan setinggan yang masih wujud. Antaranya Kampung Disayang, Bakau, Lupak Meluas Darat, Bakau, Sundang, Sundang Darat dan Cenderamata.

“Selain itu, kita juga mendapat peruntukan untuk membaik pulih rumah penduduk yang usang.

“Setiap tahun 140 rumah akan dibaik pulih dan bagi tahun ini ada tambahan 100 rumah menjadikan keseluruhan 800 rumah telah menerima manfaat dalam tempoh lima tahun ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Samsudin yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi berkata, aspek keagamaan turut dititikberatkan dalam soal pemba­ngunan iaitu melalui pembinaan baharu atau menaik taraf rumah-rumah ibadat yang sedia ada di DUN Sekong.

“Apabila orang ramai melalui Jalan Bokara-Batu Sapi, pastinya akan ternampak Masjid Wassatiyah yang cantik ini di tepi jalan Lupak Meluas. Dan di belakang masjid ini pula ada PPR Taman Batu Sapi. Kedua-dua pemba­ngunan ini adalah janji yang telah ditunaikan kerajaan Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Kecil Batu Sapi pada 2010.

“Dan yang terbaharu, DUN Sekong bakal memiliki dua lagi masjid yang masing-masing bernilai RM2 juta. Satu akan dibina berhampiran Jabatan Penjara dan satu lagi di Taman Mawar di mana majlis pecah tanah akan berlangsung dalam tempoh terdekat, manakala dua masjid di pulau iaitu Kampung Tronglit dan dan Shanghai telah siap dibina dengan kos RM500,000 setiap satu.

“Bagi surau-surau kampung di pulau pula, kita telah menaikkan taraf bangunan daripada kayu kepada kon­krit yang melibatkan surau Kampung Baru dengan nilai RM80,000 dan Kampung Terusan Baru serta Sirabut yang masing-masing menelang kos RM85,000.

“Begitu juga beberapa masjid di tanah besar di mana kita te­lah menerima peruntukan untuk me­naikkan taraf masjid di Segaliud, Kampung Istimewa dan Indah Jaya,” jelasnya.

Bercerita mengenai keperluan asas penduduk pulau pula, Samsudin selaku Pengerusi BN Batu Sapi berkata, penyambungan bekalan air bersih yang bernilai RM60 juta telah memberi manfaat kepada penduduk di Pulau Timbang dan Shanghai, termasuk empat buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Shanghai, SK Terusan Baru, SK Kampung Baru dan SK Pulau Timbang.

“Sebelum ini, penduduk bergantung dengan air tangki atau membeli bekalan air bersih dari tanah besar. Tetapi selepas ada­nya penyambungan dari tanah besar ke Pulau Timbang, sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada penduduk pulau untuk mendapatkan air bersih,” katanya.

Menurut beliau, antara kemudahan lain yang diberi perhatian adalah jambatan kampung di mana kira-kira 70 peratus daripadanya telah dinaikkan taraf kepada jambatan separuh konkrit.

Samsudin berkata, kerja-kerja menaik taraf baki 30 peratus jambatan kayu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dalam usaha memastikan rakyat dapat menikmati kemudahan yang lebih selamat dan terjamin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!