Rozita Che Wan Perlahan Kerjaya Lakonan

PELAKON Rozita Che Wan mengakui kini semakin memperlahankan aktiviti seninya kerana terikat dengan pelbagai komitmen lain sama ada dalam perniagaan mahupun peranannya sebagai isteri dan ibu kepada tiga cahaya mata.

Menurut Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, kini hanya mengambil tawaran lakonan tertentu sahaja terutamanya melibatkan watak ringan yang tidak memerlukan dia meluangkan lebih banyak masa di lokasi.

“Dulu saya boleh berlakon apa sahaja dan habiskan banyak masa di lokasi, tapi melihat kepada komitmen saya pada banyak perkara lain ketika ini membuatkan saya terpaksa hadkan masa.

“Jadi sebelum menerima tawaran, saya akan berterus-terang situasi saya yang lebih selesa jika waktu penggambaran tidak mengambil masa terlalu panjang hingga lewat pagi.

“Ia sekadar permintaan, jika mereka dapat memberi kelonggaran mungkin tidak ada masalah saya terlibat dalam produksi tersebut dan begitulah sebaliknya,” jelasnya tanpa berselindung.

Dari segi pemilihan watak pula, kata Che Ta, dia kini lebih selesa membawakan watak ringan atau cenderung komedi berbanding watak berat penuh emosi.

“Kalau boleh saya cuba elakkan bawa watak-watak beremosi kerana sudah penat. Watak seperti itu bukanlah sesuatu yang mudah dan memerlukan sepenuh komitmen.

“Melihat kepada situasi sekarang, mungkin lebih baik saya memilih karakter ringan dan tidak memenatkan diri,” katanya yang kini sedang sibuk di lokasi penggambaran sebuah telefilem untuk siaran Hari raya.

Selain itu, isteri kepada Zain Saidin ini juga mengakui sebahagian jadualnya juga padat dengan aktiviti bersama Telekom Malaysia (TM) bagi memenuhi peranannya sebagai antara panel dalam siri ceramah perniagaan anjuran badan tersebut.

“Sekarang ini saya sibuk buat talk tentang perniagaan bersama TM di mana kami pusing satu Malaysia untuk program ini sepanjang tahun ini.

“Disebabkan terikat dengan aktiviti ini jugalah membuatkan saya tidak dapat memenuhi beberapa tawaran lakonan kerana pertindihan waktu di antara keduanya.

“Memang ada produksi mahu memberi sedikit kelonggaran dari segi waktu, tetapi saya tidak mahu menyusahkan pihak lain dan tamak dalam mengerjakan sesuatu,” akuinya jujur.

Perhatian pada Aaisyah

Berkongsi rutinnya sebagai seorang ibu, kata Che Ta, kesibukannya dengan urusan kerja kadang-kadang membataskan waktunya bersama anak-anak, namun sebagai ibu dia sentiasa mahu memastikan yang terbaik buat mereka.

“Dua anak lelaki saya, Ammar dan Anith dah besar, jadi saya taklah risau sangat, cuma perhatian perlu lebih banyak diberikan kepada Aaisyah yang kini sedang membesar sampai saya pun rasa macam tak terkejar.

“Pergaulan sehariannya banyak dengan orang-orang dewasa menyebabkan perwatakan serta percakapannya juga dah macam orang besar yang kadang-kadang buat kita rasa dia bukan budak kecil.

“Kalau budak-budak sebayanya suka dengan anak patung atau bermain di taman permainan, Aaisyah pula lebih cenderung bermain dengan barangan orang dewasa seperti beg tangan, kasut, baju dan sebagainya,” ujar Che Ta.

Biarpun tidak menghalang kecenderungan anak bongsunya itu, Che Ta dalam masa sama telah mengupah seorang guru peribadi pakar dalam perkembangan kanak-kanak untuk menemani Aaisyah bermain mengikut peringkat usianya.

“Saya nampak Aaisyah ni macam cepat sangat nak besar, apa sahaja orang sekeliling dia buat, sekejap sahaja boleh jadi pengaruh buat dia.

“Jadi dengan adanya cikgu peribadi datang rumah dan ajar dia mengenali dunia kecilnya, Aaisyah nampak makin seronok dan banyak belajar benda baru,” katanya.

Mengakui tidak pernah mengambil kisah dengan kecaman netizen tentang cara dia mendidik anak, pelakon Kiah Perkasam ini sentiasa positif dalam apa yang dilakukan.

“Saya tidak pernah ambil kisah kerana yakin mereka tidak tahu apa yang berlaku dalam kehidupan saya dan anak-anak.

“Saya ada cara tersendiri mendidik anak dan Alhamdulillah sudah terbukti apabila dua anak lelaki saya berjaya dalam pelajaran.

“Insya-ALLAH saya juga akan menerapkan perkara sama kepada Aaisyah dan cuba memastikan dia berjaya dalam pelajaran meski apa pun pilihan kerjaya dia selepas itu,” katanya yang bercadang menghantar anak perempuannya itu ke sekolah tahun depan.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.