Ayda Tak Sanggup Perguna Peminat

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi terkenal, Ayda Jebat, 25, takkan sesekali menggunakan peminatnya demi kepentingan diri sendiri mahupun pihak lain.

Menurut Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-28 itu, beliau tidak akan mengambil mudah hal membabitkan golongan terbabit, malah enggan membebankan peminat dengan perkara yang di luar kemampuan masing-masing.

“Contohnya, ada pihak tertentu yang mahu menggunakan kelab peminat saya, AJ Screamers, untuk menganjurkan percutian ke destinasi tertentu dengan harga mahal yang mencecah ribuan ringgit, termasuk bercuti di atas kapal.

“Saya bagaimanapun belum terdetik ke arah itu. Saya tidak mahu membebankan mereka dengan perkara sebegitu sebab saya tahu, rata-rata peminat saya masih muda dan bukan orang senang.

“Sayang peminat terhadap saya pula sangat ikhlas. Ada yang sanggup tidur di masjid dan terminal bas, semata-mata ingin menonton persembahan serta berjumpa dengan saya.

“Jadi, saya tak tergamak nak mempergunakan kasih sayang mereka untuk kepentingan orang lain. Sehingga kini, saya tak melihat keperluan untuk bercuti dengan peminat sehingga masing-masing perlu membayar semahal itu,” katanya.

Ayda berkata demikian ketika diminta pandangannya berkenaan hubungan peminat dengan artis sempena kehadiran ABPBH 3.0 yang akan mencapai kemuncaknya pada 14 Mei depan, di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC).

ABPBH ialah acara anugerah pilihan peminat paling lama bertahan di negara ini. Ayda sememangnya antara artis yang cukup bijak melayan dan menghargai kalangan peminatnya, sejak beliau mula-mula meledak di arena seni sehinggalah ke hari ini.

Selain sering mengadakan majlis bersama kumpulan penyokongnya itu, beliau juga sentiasa menghargai kehadiran peminat tatkala menjayakan sesebuah persembahan, termasuk pada siri jelajah ABPBH.

“Kejayaan saya hari ini tidak syak diperoleh hasil berkat sokongan peminat, selain keluarga tercinta,” katanya yang kini meletup dengan lagu Nakal Nakal Nakal.

Ditanya mengenai pendiriannya dalam soal membalas komen peminat di laman sosial, Ayda tidak menganggap ia sebagai satu beban.

“Tidak sampai lima minit pun saya boleh membalas komen mereka. Daripada saya menulis komen tidak sepatutnya dan yang tak berfaedah, lebih baik saya balas komen peminat. Tindakan seperti itu sudah cukup membuatkan mereka gembira. Bukan rugi pun jika kita berbuat baik kepada orang.

“Jangan menggunakan peminat ketika musim melobi untuk menang anugerah saja. Sayang saya kepada peminat seperti saya sayang dan cintakan keluarga sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Ayda turut melihat ABPBH sebagai platform terbaik untuk beliau terus berjuang di arena seni.

“Impak kemenangan saya pada ABPBH memang besar. Selepas menang Artis Baharu Wanita Popular pada ABPBH 2014, ia membantu saya untuk terus menyerlah dan kekal relevan dalam bidang ini.

“Ia boleh diibaratkan seperti mempunyai ijazah dalam bidang yang diceburi selepas kita lulus Sijil Pelajaran Malaysia.

ABPBH membantu artis untuk mempertahankan reputasi, bukan saja dalam soal ‘demand’, harga, malah populariti.

“Dalam hal ini, saya lihat Siti Saleha mempunyai cara terbaik untuk terus kekal dalam industri seni. Saya kagumi caranya, termasuk bagaimana kelab peminatnya begitu gigih menyokong di belakang. Sekalipun dia hanya muncul menerusi beberapa drama atau telefilem dalam setahun, dia boleh ‘survive’ hingga menjadi calon Top 5 pada ABPBH,” katanya.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.