Video: Ustaz PKR Pertahan Doa Badrolamin Laknat Mahatir

KUALA LUMPUR – Ketua Biro Pemantapan Agama Angkatan Muda Keadilan (AMK), Wan Ji Wan Hussin mempertahankan doa laknat Mahathir yang dibacakan oleh pemimpin kanan parti itu, Dr Badrulamin Bahron ketika menutup Himpunan Mansuh GST Sabtu lalu.

 

Ustaz PKR itu berkata, Badrulamin tidak boleh dipersalahkan kerana dia pernah menjadi mangsa kezaliman Dr Mahathir ketika masih bergelar Perdana Menteri.

 

“Jadi menghukum atau menghina Badrulamin atas tindakan (doa) itu kurang tepat, sebagai mangsa (kezaliman) sudah pasti ia memberi kesan negatif dalam hidupnya,” katanya memetik laporan FMT.

 

Doa laknat yan dibacakan Badrulamin itu antara lainnya meminta pemimpin ‘mahazalim’ yang bertanggungjawab memenjarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi balasan yang setimpal.

 

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli sebelum ini menyifatkan ‘doa laknat’ tersebut mengaibkan Dr Mahathir sebagai negarawan.

 

Malah Rafizi melalui satu kenyataan yang dihantar melalui aplikasi Whatsapp sebelum ini turut berkata akan mengambil tanggungjawab tersebut dengan memohon kepada mantan Perdana Menteri itu.

 

Badrul Amin antara lima pemimpin PKR yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Negeri (ISA) pada 2001 dan ditahan di Kem Kamunting selama dua tahun.

 

 

Mengulas lanjut, Wan Ji berkata, perbuatan Badrulamin hampir sama dengan apa yang dilakukan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu atau Mat Sabu (ketika masih dalam PAS) yang sering mengkritik Anwar.

 

“Semasa Anwar dipecat dari jawatan TPM pada tahun 1998 ,Allahyarham Fadzil Nor membela Anwar, walaupun ketika itu Mat Sabu dalam ceramah masih lagi hentam Anwar.

 

“Kebijaksanaan Fadzil Nor menyebabkan terjadi kerjasama dengan Anwar, sehingga kini, Mat Sabu adalah tokoh yang kuat pertahankan Anwar. Mungkin watak Badrul Amin ini sama iras dengan tindakan Mat Sabu suatu masa dahulu,” katanya.

 

Sementara itu Badrulamin ketika mempertahankan doa itu berkata, dia tidak berdendam dengan Dr Mahathir tetapi hanya mampu berdoa sebagai senjata kerana tidak mampu menegur secara berdepan dengan orang zalim.

 

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau tidak menyangka PKR boleh memalukan Dr Mahathir selepas dijemput sebagai tetamu pada Himpunan Bantah GST.

 

“Tidak terduga tergamak ustaz PKR (Badrul Amin) membaca doa laknat terhadap Tun M ketika Tun M sebagai tamu di atas pentas. Buat apa jemput dia kalau nak diapa-apakan begitu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.