Video: Pentas Runtuh Ketika Sesi Bergambar Pelajar Malaysia, Palsu

KUALA LUMPUR – Laman sosial WhatsApp hari ini kecoh berikutan sebuah video yang tersebar mendakwa pentas digunakan sekumpulan pelajar Malaysia di Mesir ketika sesi bergambar runtuh secara tiba-tiba.

 

Bagaimanapun, Setiausaha Akhbar Menteri Luar, Datin Nirvana Jalil Ghani ketika dihubungi SuaraTV berkata insiden yang didakwa melibatkan pelajar Malaysia itu adala palsu.

 

“Tak betul, palsu… isu lama,” katanya ringkas sebentar tadi.

 

 

Tinjauan yang dilakukan mendapati, sebenarnya melibatkan pelajar di sebuah kolej di Baghdad, Iraq pada 30 Mac lalu.

 

Mail Online sebelum ini melaporkan detik gembira sekumpulan graduan yang mahu merakam gambar selepas majlis penyerahan ijazah itu bertukar detik hitam selepas platform yang digunakan runtuh secara tiba-tiba.

 

Kejadian mengejutkan itu berlaku membabitkan sekumpulan pelajar di Kolej Farmasi Baghdad.

 

Insiden dipercayai berlaku selepas pentas yang dibina untuk sesi fotografi pada awalnya dilihat bergoyang, sebelum bahagian atas platform yang dipenuhi kumpulan pelajar runtuh mengakibatkan pelajar terjatuh atas satu sama lain.

 

Insiden turut disaksikan oleh ibu bapa pelajar, sebelum masing-masing bergegas menyelamatkan anak mereka.

 

Memetik laporan portal tersebut lagi, runtuhan bermula di bahagian barisan belakang, sebelum keseluruhan platform tersebut runtuh.

 

Berikutan insiden tersebut, beberapa orang pelajar mengalami kecederaan ringan, bagaimanapun, tiada kemalangan serius dilaporkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.