Video: Elak Disimbah Arak, Khairul Idham Lari Dari Pentas

KUALA LUMPUR — Kemenangan pelumba MotoGP Malaysia, Khairul Idham Pawi, bukan sahaja mengharumkan nama negara, malah turut dianggap membawa imej pemuda Islam.

 

Memenangi kategori Moto3 pada Grand Prix Motosikal Argentina awal pagi tadi, pelumba pasukan Honda Team Asia ini mencatat 41 minit 35.452 saat dalam 21 pusingan di Litar Termas de Rio Hondo.

 

Khairul, 17, semasa diumumkan pemenang dilihat meninggalkan podium apabila pemenang di tempat kedua dan ketiga menyemburkan arak ke arahnya.

 

Klip-klip video gelagatnya itu, yang diambil daripada siaran televisyen, dimuatkan di media sosial oleh peminat-peminatnya di Malaysia.

 

Tindakannya itu mendapat pujian pengguna media sosial yang rata-rata bangga pelumba dari Perak tersebut turut membawa imej Islam.

 

“Ini baru tidak lupa diri. Dia ingat lagi yang dia itu seorang Islam. Haram tetap haram,” kata Kamaraj Ariakrishnan di laman Facebook “Friends of PDRM”.

 

“Tahniah dan syabas. Bagus budak ini, bijak membawa imej diri sebagai umat Islam. Alhamdulillah,” kata seorang pengguna lagi, Jiea Zieah.

 

“Alhamdulillah. Bawa adab Islam di mata dunia,” kata Hanafi Napie pula.

 

Pelumba Sepanyol, Jorge Navarro mewakili pasukan Estrella Galicia Honda dan pelumba Afrika Selatan, Brad Binder dari Red Bull KTM Ajo masing-masing menduduki di tempat kedua dan ketiga.

 

Seorang lagi pelumba Malaysia, Adam Norrodin dari pasukan Drive M7 SIC Racing Team menduduki tangga ke-11 walaupun terbabit dalam kemalangan di selekoh akhir pusingan.

 

Kejayaan luar biasa Khairul Idham ini dipuji oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. – MalayMail

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.