MP Sepang Dibedah Malam Tadi, Kerana Pendarahan Otak

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin kini di bawah rawatan rapi selepas selamat menjalani pembedahan malam tadi.

 

Menurut catatan di Facebook AMANAH, Hanipa sedang dirawat di unit rawatan rapi neurologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana mengalami pendarahan otak.

 

“YB Hanipa Maidin, selesai menjalani pembedahan dengan selamat. Kini beliau direhatkan di Neuro ICU HKL untuk rawatan.

 

“Bersama kita mendoakan urusan beliau dipermudahkan dan YB Hanipa kembali sihat,” kata coretan di laman Facebook Amanah.

Terdahulu Hanipa dikejarkan ke HKL bagi mendapatkan rawatan selanjutnya setelah pengsan secara tiba-tiba ketika persidangan Dewan Rakyat di Parlimen semalam.

 

Menurut ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran Hanipa tidak keluar dewan sewaktu rehat dan beliau bersama Charles Santiago (DAP-Klang) telah mendekati Anggota Parlimen itu dan mendapati beliau telah pengsan di kerusinya.

 

“Beliau kemudian dibawa dengan kerusi roda ke klinik Parlimen dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur selepas itu,” katanya.

 

Kulasegaran berkata sebelum itu Mohamed Hanipa dikatakan mengadu loya dan lemah beberapa ketika sebelum waktu rehat tersebut.

 

Terdahulu Hanipa bertekak dengan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Dato’ Seri Hamzah Zainudinketika perbahasan Rang Undang-Undang Syarikat 2015 di Dewan Rakyat.

 

Pegawai Parlimen memaklumkan bahawa Ahli Parlimen itu muntah-muntah dan tekanan darahnya melonjak tinggi 250/110.

 

Mohamed Hanipa merupakan anggota Parlimen Sepang sejak 2013 di bawah tiket PAS sebelum menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) tahun lalu. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.