Mahathir Dah Jadi Ahli Politik ‘Low Class’, Kata Nazri Aziz

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad disifatkan sudah sampai ke peringkat menjadi ahli politik ‘low class’, demikian kata Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

 

Menurut Nazri, bekas Perdana Menteri itu kini telah banyak melanggar prinsip sendiri dan menghalalkan apa sahaja cara semata-mata nak menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tercapai.

 

“Ya, dia menghalalkan cara. Prinsip dia, buat apa sahaja perkara boleh dilakukan asalkan niatnya tercapai.

 

“Dia kini sudah sampai ke tahap ahli politik yang ‘low class’. Sungguh sedih. Tetapi nak buat macam mana. Dia buat diri dia macam itu,” katanya dipetik dari portal Sinar Harian.

 

Dalam kenyataan yang sama, Nazri berkata, Dr Mahathir kini semakin terdesak setelah rancangannya untuk menjatuhkan Najib berterusan menemui kegagalan.

 

“Dia seorang yang sudah terdesak. Sebelum ini, setahun dia cuba jatuhkan Najib tetapi dia gagal. Ahli Umno tetap berdiri teguh di belakangnya (Najib).

 

“Jadi sebab itu, dia (Mahathir) keluar parti dan anak dia pula kena buang. Bertambahlah dendamnya (pada Najib),” ujar Nazri.

 

Disebabkan dendam dan kegagalan demi kegagalan itu, menurut Nazri lagi, Dr Mahathir sanggup menghalalkan apa saja cara asalkan kemahuannya untuk menggulingkan Najib tercapai.

 

“Jadi dia akan ambil apa sahaja kesempatan untuk menggabungkan usaha menjatuhkan Najib. Contohnya dia tengok perhimpunan Mansuh GST (mungkin) boleh jatuhkan Najib, dia akan turut serta. Sampai ke situ dendam dia,” katanya merujuk kepada penyertaan kali kedua Dr Mahathir dalam demonstrasi jalanan.

 

Sepanjang 22 tahun memerintah sebagai Perdana Menteri, Dr Mahathir diketahui umum cukup kerap mengecam tindakan pemimpin pembangkang menganjurkan demonstrasi dan himpunan jalanan kerana dikhuatiri kesan negatif terhadap ketenteraman awam dan ekonomi negara.

 

Dr Mahathir sebelum ini juga dikenali umum sebagai seorang yang kritis dan anti pada media asing yang diragui corak pemberitaannya, bagaimanapun sejak akhir-akhir ini beliau kerap merujuk dan menggunakan media asing untuk menyerang kepimpinan tertinggi negara.

 

Bagaimanapun menurut Nazri lagi, segala usaha Mahathir untuk menjatuhkan Najib tidak akan berjaya kerana prinsip bekas Perdana Menteri itu sudah jauh tersasar.

 

“Rakyat tahu yang mana boleh ikut dan tidak. Nampak sangat dia duduk dengan pembangkang, dia berkompromi dengan prinsip dia. Amat memalukan.

 

“Sekarang, dalam politik dia sudah sampai ke tahap yang rendah. Langsung tidak ada prinsip,” katanya merujuk tindakan Dr Mahathir bekerjasama dengan pemimpin pembangkang termasuk Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.