Dua Mangsa Letupan Di Mid Valley Masih Di Hospital

PETALING JAYA – Dua mangsa cedera dalam letupan kecil di Pusat Beli-belah Mid Valley pagi tadi masih dirawat di hospital.

 

Pihak pengurusan Pusat Beli-belah Mid Valley dalam kenyataan terbaru yang dimuat naik ke laman Facebooknya petang tadi memaklumkan, enam yang lain telah dibenarkan keluar hospital, setakat jam 1 tengah hari tadi.

 

Pusat Beli-belah Mid Valley digegarkan dengan letupan kecil yang mendatangkan kerosakan kepada dua restoran di tingkat bawah kira-kira jam 9.45 pagi tadi.

 

Letupan kecil itu berlaku ketika kerja-kerja pemulihan sistem Gas Petroleum Cecair (LPG) dijalankan, selepas selesai kerja-kerja penyelenggaraan.

 

Tiada kematian dilaporkan, tetapi lapan pekerja penyelenggaraan, kontraktor LPG dan pekerja di dua restoran terbabit mengalami kecederaan ringan.

 

Sementara itu, Institut Jurutera Malaysia (IEM) menasihatkan pengusaha premis makanan mengambil langkah berjaga-jaga, bagi mengelakkan insiden letupan kecil di Pusat Beli-belah Mid Valley berulang.

 

Antara cadangan itu ialah saluran paip gas dibersihkan daripada sebarang sisa gas, sebelum kerja-kerja penyelenggaraan sistem gas dimulakan, bagi memastikan tiada gas mudah terbakar berada dalam saluran paip.

 

Selain itu, Presiden IEM, Datuk Lim Chow Hock turut mencadangkan sistem pengesan kebocoran gas dipasang di setiap dapur dan semua kawasan laluan saluran paip gas.

 

“Sistem pengesan kebocoran gas akan memberi amaran awal kepada pihak pengurusan bangunan, bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini dalam sesebuah bangunan itu.

 

“Sistem pengesan gas sedemikian telah digunakan di banyak negara sebagai sistem amaran awal,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Tambahnya, pengusaha restoran juga perlu mempertingkatkan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam premis makanan masing-masing, termasuk memastikan semua injap gas utama di premis mereka ditutup, sebelum operasi dapur tamat setiap hari.

 

Tindakan itu, katanya, dapat mengelak dan mengehadkan kemungkinan berlaku kebocoran gas ke dapur di premis makanan.

 

Jelasnya, Lembaga Penasihat Kebakaran IEM juga bersedia membantu kerajaan dengan nasihat teknikal dalam menyediakan garis panduan kebakaran dan keselamatan untuk bangunan komersial. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.