Anggota Polis Pukul Isteri Depan Balai Ditangkap

KUALA LUMPUR – Anggota polis yang memukul seorang wanita dipercayai isterinya ketika masih dalam pantang telah ditahan untuk siasatan.

 

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah Segamat, Superitendan Mohd Kamil Sukarmi yang memberitahu, penahanan dibuat susulan tersebarnya video aksi tindakan ganas anggota terbabit di laman sosial.

 

Menurutnya, satu laporan juga telah dibuat di Balai Polis Tenang, Segamat oleh seorang individu dan bertindak atas maklumat itu juga anggota terbabit ditangkap untuk siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 (A) Akta Keganasan Rumahtangga 1994.

 

“Tindakan menukarkan anggota tersebut serta merta dari Pondok Polis Felda Redong ke cawangan Kem Komandan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen juga telah dilakukan,” katanya menerusi kenyataan.

 

Semalam, sebuah video yang menunjukkan seorang lelaki dipercayai anggota polis di sebuah balai polis dekat Felda Redong, Segamat memukul seorang wanita yang sedang menggendong seorang budak dipercayai isterinya tersebar di laman sosial.

 

 

Pemerhatian terhadap visual, mangsa semasa kejadian datang ke balai berkenaan bersama seorang lagi wanita dipercayai ibunya.

 

Seorang saksi yang melihat kejadian itu telah merakam insiden berkenaan dan kemudian memuat naik rakaman tersebut ke Facebook dan menjadi viral.

 

Pengguna alam maya yang menonton video berkenaan rata-rata melahirkan rasa marah terhadap anggota terbabit dan menggesa agar tindakan segera diambil oleh pihak berkuasa ke atas lelaki terbabit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.