Tuah Luar Biasa Suzy

LIMA tahun dalam industri seni, wanita bernama Bae Su-ji atau nama pentasnya Suzy telah mencipta sensasi yang luar biasa. Dia yang merupakan ahli kumpulan Miss A, bukan sahaja popular di negara kelahirannya, Korea Selatan tetapi juga di seluruh Asia.

 

Bermula sebagai model katalog untuk perniagaan dalam talian, hari ini, Suzy merupakan penyanyi, pelakon, model dan duta produk yang paling laris di Korea Selatan. Ketika wanita seusianya sedang mencari arah tuju dalam kehidupan, pada usia 21 tahun, Suzy telah memiliki kemasyhuran dan kemewahan.

 

Suzy boleh dikatakan cukup bertuah. Dia meraih populariti hanya 11 bulan selepas debut bersama kumpulan Miss A menerusi single Bad Girl Good Girl dilancarkan pada Julai 2010. Bagaimanapun, pada awal kemunculannya, Suzy lebih banyak menerima kritikan daripada pujian.

 

Katanya, menerusi rancangan televisyen Strong Heart: “Awal kemunculan sebagai penyanyi, pengacara dan pelakon, saya menerima kritikan hampir setiap hari. Antaranya, saya dikatakan pelakon kayu, pelakon tidak berbakat, seorang yang cuai, memberi ucapan mengarut pada majlis anugerah dan banyak lagi.

 

“Kritikan paling menyedihkan ialah apabila ada pihak sengaja mempertikaikan berat badan dan bentuk tubuh saya. Waktu itu, saya berusia 18 tahun, jadi kritikan itu terlalu besar untuk ditangani.”

 

Luahnya lagi, dia menjadi kurang berkeyakinan apabila rakan artis sendiri menjadikan berat badannya sebagai bahan gurauan.

 

“Kebanyakan rakan artis wanita semuanya kurus kecuali saya yang tidak kisah tentang diet. Jadi, saya akan kelihatan paling besar apabila berdiri di atas pentas. Lama-kelamaan saya sudah lali dan tidak kisah apabila orang bercakap tentang tubuh badan.

 

“Saya sentiasa menjadi diri sendiri dan tidak malu mengaku bahawa saya kuat makan. Saya juga suka makan lewat malam,” ujarnya yang mudah naik berat badan.

 

Walaupun tidak memiliki badan yang langsing, tetapi Suzy memiliki aura emas yang tidak dimiliki semua orang. Apa sahaja projek yang diusahakan pasti membuahkan hasil lumayan. Tidak hanya cemerlang sebagai penyanyi bersama kumpulan Miss A, Suzy juga meraih kepercayaan peminat menerusi drama pertamanya, Dream High yang disiarkan pada tahun 2011.

 

“Saya tidak mempunyai rahsia kejayaan. Rasanya, saya orang yang bertuah apabila dipertemukan dengan pengarah dan pelakon hebat. Secara tidak langsung mereka membantu saya memberikan lakonan terbaik. Begitu juga dalam bidang nyanyian, bantuan orang sekeliling yang menjadikan saya kelihatan hebat di atas pentas,” balasnya yang turut berlakon dalam drama Big dan Gu Family Book.

 

Jelas Suzy, dia bukanlah orang yang tamak untuk membolot semua tawaran secara serentak. Namun, apabila rezeki datang bergolek di depan mata, dia mengambil peluang tersebut untuk memperkukuhkan lagi kerjaya sebagai anak seni.

 

“Saya akui, memang sukar untuk memberi fokus kepada bidang nyanyian dan lakonan secara serentak. Jika saya sibuk dengan lakonan, saya terpaksa berehat daripada nyanyian, begitulah sebaliknya.

 

“Peminat mahu melihat saya menyanyi dan berlakon, jadi saya harus lakukan semua kerja yang diberi. Sebagai selebriti, sibuk satu petanda yang bagus dalam kerjaya. Jadi, saya gembira apabila sibuk dengan kerja,” tuturnya yang merupakan anak sulung daripada tiga adik-beradik.

 

 

Temu janji di London

 

Tidak pernah berkongsi kisah peribadi bersama umum, namun, pada pertengahan Mac lalu, nama Suzy dan aktor kacak Lee Min-ho menjadi perhatian. Gambar temu janji rahsia mereka di London, England telah dirakam pihak media. Menurut media Korea Selatan, Suzy berada di London untuk sesi fotografi sebuah majalah, begitu juga dengan Min-ho yang terbang ke Paris untuk tujuan yang sama.

 

Menariknya, Min-ho sanggup terbang dari Paris ke London semata-mata untuk bertemu Suzy. Dikhabarkan, mereka menghabiskan masa bersama selama tiga hari sebelum pulang ke Korea Selatan. Pasangan yang telah bercinta selama sebulan itu dilihat tidak dapat berpisah apabila Min-ho juga dilihat sering bertemu Suzy hampir setiap hari apabila ada kelapangan.

 

Pendedahan itu mengejutkan banyak pihak dan secara tidak langsung menyebabkan saham Suzy menjulang tinggi. Tidak menunggu lama, pada majlis sidang akhbar album terbaharu kumpulan Miss A berjudul Colors pada 30 Mac lalu, Suzy mengesahkan hubungannya dengan Min-ho.

 

“Mungkin saya telah membuatkan pihak media sibuk sepanjang minggu lepas. Mungkin banyak persoalan ingin ditanya tentang hubungan saya dan Min-ho, tetapi majlis ini berkenaan kemunculan semula Miss A selepas setahun lima bulan tanpa sebarang album.

 

“Jadi, sila fokus tentang album dan muzik Miss A. Saya harapkan sokongan daripada semua pihak,” ujarnya.

 

Sungguh begitu, Suzy tidak keberatan untuk menjawab soalan berhubung pengesahan hubungan cintanya dengan Min-ho.

 

“Dia (Min-ho) seorang yang memahami dan baik hati. Itu yang menyebabkan saya tertarik kepadanya. Kami berdua sibuk dan saling menyokong walaupun dari jauh. Soal temu janji yang disebut itu, sebenarnya secara kebetulan kami terlibat dengan sesi fotografi di London, jadi kami membuat keputusan untuk berjumpa.

 

“Kami hanya berjalan-jalan dan makan-makan. Ia temu janji yang normal seperti mana pasangan yang lain,” akuinya.

 

Walaupun fokus diberi kepada Suzy, namun ahli kumpulan Miss A yang lain iaitu Fei, Jia dan Min tidak terasa hati dengan perhatian diberikan peminat dan pihak media. Bagi mereka Suzy seorang yang sangat komited dengan kerjaya bersama Miss A. Sebelum ini, dia sanggup menolak tawaran lakonan dengan aktor terkenal, Yoochun dalam drama The Girl Who Can See Smells semata-mata mahu fokus kepada album terbaharu Miss A.

 

“Dia sangat menghormati tawaran lakonan, tetapi terpaksa menolak tawaran itu demi Miss A,” kata wakil agensi Suzy.

 

Selain sibuk dengan Miss A, Suzy juga bakal muncul sebagai pelakon utama filem Dorihwaga yang akan menemui penonton pada tahun ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.