PR Bakal Tadbir Malaysia – Wan Azizah

Kuala Lumpur – Pakatan Rakyat (PR) optimis akan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan datang.

 

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yakin masa depan negara ini terletak di tangan gabungan parti berkenaan.

 

Atas tujuan itu, beliau mengajak parti komponen PR- PKR, DAP, PAS – untuk terus bersatu dan fokus untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN).

 

Katanya, walaupun suaminya, yang juga Ketua Umum PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dihukum penjara sekali lagi namun ia tidak sedikit pun melemahkan semangat PR untuk terus berjuang.

 

“Kita teguhkan tekad kita bahawa perjuangan tidak sama sekali akan terhenti, tiada jua istilah berundur, kita akan terus mara. Mara bersama semangat perjuangan Anwar Ibrahim, sebagai suatu gerakan yang mampu mencorak masa depan negara, ” katanya dalam perutusan sempena Ulang Tahun ke-16 penubuhan PKR.

 

Menurut Wan Azizah, PKR kini setanding dengan parti politik arus perdana di negara ini walaupun melalui pelbagai dugaan dan tekanan sejak dari awal penubuhannya.

 

“Kami sekeluarga, para pendokong serta pejuang reformasi dihina dan difitnah hari demi hari. Tidak kurang yang diburu, ditangkap, diseret ke lokap dan ada yang terpaksa merengkok dalam tahanan ISA.

 

“Namun di sebalik segala kepayahan dan tekanan, PKR berusaha melakar sejarah dengan memecahkan tembok dominasi parti-parti politik veteran yang sudah lama mendominasi sistem politik negara,” katanya.

One thought on “PR Bakal Tadbir Malaysia – Wan Azizah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.