PM Sertai Solat Jenazah Azlin Alias

Kajang – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyertai ratusan jemaah menunaikan solat jenazah bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Allahyarham Datuk Azlin Alias di Surau Saujana Impian, di sini.

 

Solat jenazah yang didahului sembahyang Zohor dan diimamkan oleh Imam Besar Masjid Putra, Abdul Manaf Mat itu turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta beberapa menteri Kabinet.

 

Sebelum itu, jenazah Azlin disembahyangkan di kediamannya di Saujana Impian, kira-kira satu kilometer dari surau tersebut.

 

Allahyarham Azlin, 48, yang mula berkhidmat bersama Najib pada 2008 yang ketika itu timbalan perdana menteri, maut selepas helikopter AS365N2 yang dinaiki bersama lima yang lain, terhempas dan terbakar di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih, dekat sini, semalam.

 

Perdana menteri dan rombongan kemudiannya mengiringi jenazah untuk disemadikan di tanah perkuburan Islam Batu 13, Jalan Cheras.

 

Sebelum dilantik ke jawatan itu pada 10 Mac tahun lepas menggantikan Tan Sri Abdul Aziz Kassim, Allahyarham Azlin, pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan daripada University of New South Wales, Sydney, Australia, merupakan Pengarah Bahagian Ekonomi dan Pegawai Khas Perdana Menteri.

 

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Azlina Mahmad, 48 dan tiga anak, Amir Ashraf, 22, Amirul Akmal, 19, dan Aisha Maryam 14. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.