‘Penjara Tak Benar Anwar Minum Air Zam-Zam’

Kuala Lumpur – Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata suaminya tidak dibenarkan menikmati makanan dan air zam-zam yang dibawa oleh keluarganya sewaktu lawatan terakhir di penjara Sungai Buloh.

 

Dr Wan Azizah berkata ketika keluarga menziarahi Datuk Seri Anwar Ibrahim Jumaat lalu, mereka membawakan kepadanya air zam-zam.

 

“Kami juga membawa buah kurma dan madu kepadanya kerana beliau berpuasa daripada Isnin hingga Rabu,” katanya ketika ditemui di parlimen Permatang Pauh semalam.

 

“Kami juga membawa air zam-zam tetapi mereka tidak membenarkan Anwar menikmatinya. Pengawal penjara berkata mereka hanya mengikut arahan,” kata Wan Azizah sambil menegaskan ia bukan sebahagian prosedur biasa jabatan penjara.

 

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli mengucapkan kasih kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Jabatan Penjara kerana memberi perlepasan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menziarahi jenazah bapanya, Datuk Ibrahim Abd Rahman hari ini.

 

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, ketika ibu kepada Anwar meninggal dunia sewaktu dipenjarakan pertama kali dahulu, Jabatan Penjara turut memberikannya kebenaran untuk hadir ke pengebumian.

 

“Datuk Seri Anwar malang kerana ibu bapanya meninggal semasa beliau di dalam penjara,” kata Rafizi ketika ditemui di rumah ayah Anwar di Kajang, Selangor hari ini.

 

Anwar hari ini menghadiri pengebumian bapanya di Country Heights, Kajang, selepas diberi kebenaran Jabatan Penjara.

 

Beliau disambut anak perempuannya, Nurul Nuha setibanya di rumah pada 10.40 pagi bersama pegawai Penjara Sungai Buloh.

 

Menurut salah seorang ahli keluarganya, Ibrahim meninggal dunia kerana mengalami sesak nafas. Beliau berusia 96 tahun.

 

Antara yang turut hadir menziarahi jenazah Ibrahim hari ini ialah bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

 

Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lepas menolak rayuan akhir beliau terhadap kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.