Nahas Helikopter: ‘Saya Mahu Dia Dikebumikan Di Sini’

Tuaran – “Saya tidak percaya dia sudah tiada. Saya rindukan dan mahu peluk dia. Saya mahu dia dikebumikan di sini”.

 

Itulah luahan ibu kepada mangsa nahas helikopter AS3655N2 Dauphin 9M-1GB, Koperal Razkan Seran selepas mengetahui kematian anaknya semalam.

 

Subarah Jili, 69, ketika ditemui dirumahnya Kampung Saradan di Tenghilan, Tuaran, kelihatan sedih dan terkejut dengan kematian anaknya sehingga tidak berhenti mengalirkan air mata sepanjang malam.

 

“Kali terakhir saya bercakap dengannya pada bulan lalu dan tidak dapat berbual lama kerana dia banyak kerja dan perlu bergerak ke banyak tempat.

 

“Tetapi dia selalu bertanyakan khabar dan tanya mengenai kesihatan saya.

 

“Dia ada beritahu mahu balik ke sini tapi tidak sangka kepulangannya dalam keadaan seperti ini,” katanya memetik laporan The Rakyat Post.

 

Ibu tunggal kepada enam orang anak ini berkata, dia membesarkan Razkan dan adik beradik seorang diri selepas kematian suaminya dua puluh tahun lalu.

 

Subarah yang masih terkejut kematian anaknya bertambah sedih apabila melihat gambar kenangan anaknya bersama ahli keluarga lain yang datang melawat.

 

Nindah Juara, 46, berkata, Razkan sering memanggilnya ‘ya’ iaitu dialek Bajau yang bermaksud makcik.

 

“Dia seorang bertanggungjawab, menghormati orang tua dan anak yang baik. Dia disayangi keluarga dan sering membuat kita selesa apabila bersama dengannya,” katanya.

 

Allahyarham yang dikenali sebagai Jikan di kalangan ahli keluarganya merupakan anak kelima dari enam adik beradik.

 

Razkan, 31, meninggalkan seorang isteri dan seorang anak lelaki dan perempuan berusia enam dan 18 bulan.

 

Adik Razkan, Hamisah, 22, berkata dia terkejut apabila menerima berita kematian abangnya petang semalam dan hanya menangis sebelum berita tersebut dimaklumkan kepada ibunya.

 

“Selepas menerima berita itu, saya masih berharap semuanya akan berada dalam keadaan baik tetapi kira-kira 8.30 malam, saya menerima panggilan daripada seorang pegawai yang mengesahkan kejadian itu.

 

“Saya mula menangis dan menjerit kerana tidak dapat menahan kesedihan,” katanya.

 

Menurutnya, ibunya yang khuatir melihatnya menangis dan menjerit bertanya namun 10 minit kemudian, dia memberitahu ibunya mengenai kejadian itu selepas mendapat pengesahan daripada beberapa pihak.

 

“Hati ibu hancur dan dia menangis sepanjang malam serta tidak tidur,” katanya.

 

Hamisah berkata, kali terakhir berjumpa abangnya pada Disember lalu ketika pulang ke kampung.

 

“Dia berada di sini selama dua hari jadi dia datang melawat dan tidur di rumah isterinya di Kampung Sungai Damit di Tuaran,” katanya.

 

Razkan mengikut jejak ayahnya yang juga anggota beruniform iaitu Wataniah. Allahyarham menyertai pasukan polis pada 2003 dalam Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

 

Dia juga terlibat dalam Op Daulat dan berkhidmat dalam Unit Tindakan Khas di Tanduo, Lahad Datu sebelum bertugas pengawal peribadi.

 

Jenazah Allahyarham dijangka tiba di Kota Kinabalu hari ini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Torong Sangag.

 

Allahyarham yang juga anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), sudah berkhidmat sebagai pengawal peribadi kepada Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis sejak lebih 10 tahun lalu.

 

Menurut sepupunya, Marnis Sidan, 30, jenazah Allahyarham Razakan akan dibawa ke Masjid Bukit Aman untuk dikafan dan disolatkan, sebelum diterbangkan ke Sabah.

 

“Dari masjid, jenazah akan dibawa ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Subang jam 2.30 petang ini untuk diterbangkan ke Kota Kinabalu,” Marnis memberitahu pemberita di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

 

Seterusnya, dari Kota Kinabalu, jenazah beliau akan diterbangkan dengan helikopter ke Tuaran untuk disemadikan di tanah perkuburan Islam di Tuaran oleh ahli keluarga Allahyarham.

 

Dimaklumkan juga, isteri Allahyarham, Setinurafenie Anou dan dua anak mereka berusia 6 dan 2 tahun turut hadir di Jabatan Forensik HKL.

 

Allahyarham Razakan lebih mesra dengan panggilan JJ di kalangan rakan-rakan dan wartawan yang rapat dengan beliau.

 

Jenazah Razakan dilihat dibawa keluar dari Jabatan Forensik HKL kira-kira jam 12.57 tengah hari, selepas selesai menjalani bedah siasat serta proses pengecaman identiti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.