Nahas Helikopter: Kotak Hitam Ditemui, Laporan Awal Seminggu Lagi

Semenyih – Kotak hitam helikopter yang terhempas semalam ditemui di lokasi utama kejadian pada pukul 11.30 pagi tadi.

 

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata kotak hitam itu berada dalam keadaan baik dan sudah diserahkan kepada pasukan siasatan khas Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

 

“Ia disimpan di bilik khas bagi pasukan DCA untuk membuat analisis,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di Kampung Sungai Pening, di sini sebentar tadi.

 

Selain kotak hitam, Abdul Samah berkata sehingga kini pasukan forensik dan pasukan siasatan khas DCA menemui isi perut dipercayai daripada manusia, gigi palsu dan beberapa barangan peribadi.

 

Katanya pencarian dilakukan dalam kawasan lingkungan 500 meter dari lokasi utama bangkai pesawat ditemui dan jika perlu pasukan itu akan memperluaskan kawasan pencarian sehingga mereka berpuas hati dengan bukti yang dikumpul.

 

“Cabaran utama kita ialah kawasan hutan berbukit bukau, ini akan mengambil sedikit masa namun apapun kami akan melakukan apa jua sebaik mungkin sehingga kami benar-benar berpuas hati segala bukti yang kami (polis dan DCA) perlukan dapat dikumpul,” katanya.

 

Sementara itu, DCA akan mengeluarkan laporan awal siasatan nahas helikopter awam yang terhempas di Kampung Sungai Pening di Semenyih petang semalam, dalam masa seminggu, kata Pengarah Operasi Penerbangannya, Datuk Yahaya Abdul Rahman.

 

Beliau berkata pada masa ini tumpuan DCA dan pasukan penyelamat ialah mencari perakam suara dan mengumpul serpihan helikopter itu untuk siasatan lanjut.

 

Bercakap kepada pemberita di lokasi kejadian, Yahaya berkata DCA akan bekerjasama dengan syarikat pengeluar helikopter, Airbus dari France untuk membantu siasatan dari sudut teknikal.

 

Siasatan itu turut melibatkan tiga wakil DCA dan dua anggota biro siasatan nahas kemalangan udara dari Kementerian Pengangkutan, yang kini berada di lokasi kejadian.

 

“DCA datang dan hendak tengok daripada atas (semasa memantau lokasi nahas dari udara) kalau ada apa-apa yang perlu dibantu. Kita hendak tengok jika ada benda yang jatuh sebelum nahas itu.

 

“Selepas itu saya hendak tengok bangkai helikopter sebelum membuat perancangan untuk siasatan lanjut. DCA minta bantuan dari pasukan penyelamat lain,” katanya.

 

Yahaya mengesahkan pihaknya belum menerima sebarang rakaman percakapan terakhir antara juruterbang dan menara kawalan.

 

“Kami perlu menilai dari segi masalah mekanikal jika ada. Saksi berkata nampak helikopter terjunam,” katanya.

 

Mengenai spekulasi sama ada helikopter meletup di udara atau terlanggar pencawang, Yahaya berkata DCA tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai spekulasi itu.

 

Namun, melalui pemerhatian peribadi, beliau mendapati tiada pencawang di sekitar lokasi kejadian yang merupakan lembah dan helikopter terjunam kira-kira 1,500 kaki.

 

Nahas helikopter AS365N2 Dauphin di Kampung Sungai Pening pada Sabtu petang (semalam), telah mengorbankan kesemua enam orang di dalamnya iaitu Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia yang juga bekas menteri Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, Ketua setiausaha sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias, juruterbang Kpt Clifford William Fournier, pembantu operasi Aidana Baizieva, Pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan B Seran dan Datuk Tan Huat Seang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.