Nahas Helikopter: Kedutaan AS Kibar Bendera Separuh Tiang

Kuala Lumpur – Jasa Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis yang terkorban dalam nahas helikopter terhempas di Semenyih petang semalam turut diiktiraf Kedutaan Amerika Syarikat yang bukan sahaja mengeluarkan kenyataan mengucap takziah, malah turut mengibarkan bendera negara itu separuh tiang di kompleks kedutaannya di ibu negara.

 

Allahyarham Jamaluddin, yang terkorban bersama lima yang lain dalam nahas petang semalam, disifatkan tokoh yang amat tekun memperjuangkan kepentingan Malaysia melalui kesungguhannya dalam usaha meningkatkan hubungan antara negara ini dengan Amerika Syarikat.

 

Duta Besar Amerika Syarikat di Malaysia, Joseph Y. Yun berkata, komitmen dan dedikasi Jamaluddin yang tidak pernah luntur itu akan dikenang selama-lamanya.

 

Bagi pihak kerajaan Amerika Syarikat, Yun mengucapkan takziah kepada ahli keluarga serta rakan-rakan mangsa yang terlibat dalam kemalangan helikopter di Semenyih.

 

“Iringan doa dan ingatan kami bersama mereka yang melalui saat yang sukar pada waktu ini.

 

“Tan Sri Jamaluddin Jarjis sentiasa berdedikasi dalam mengembangkan perhubungan dua hala bersama Amerika Syarikat.

 

“Persahabatan yang erat di antara kedua-dua negara turut disumbangkan hasil kreativiti, tenaga dan visi beliau.

 

“Komitmen dan dedikasi beliau terhadap hubungan erat A.S. dan Malaysia akan kekal diingati,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman web Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.

 

Sekeping gambar Presiden Barack Obama bersama Allahyarham Jamaluddin, dengan kapsyen, ‘Presiden Barack Obama bersama Tan Sri Jamaluddin Jarjis, bekas duta Malaysia ke Amerika’ turut disiarkan bersama ucapan takziah berkenaan.

 

Manakala melalui laman Twittter rasminya @usembassykl, disiarkan sekeping gambar bendera Amerika yang disiarkan separuh tiang mengiringi sebaris kenyataan ringkas.

 

“In memory of Tan Sri @DrJJMalaysia, a friend of the US who helped strengthen the relationship btw our two countries,” catat Twitter @usembassykl. (Dalam ingatan Tan Sri @DrJJMalaysia, sahabat Amerika Syarikat yang membantu mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara)

 

Helikopter AS365N2 Dauphin yang dinaiki enam orang termasuk Jamaluddin dan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Azlin Alias, terhempas di kawasan kebun getah di Semenyih dekat sini pada 4.55 petang semalam.

 

Selain Jamaluddin dan Azlin, empat lagi ialah juruterbang, Kapten Clifford William Fournier, warga Amerika Syarikat; Pembantu Operasi Aidana Baizieva; pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan Seran; dan ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang.

 

Mayat kesemua mangsa dibawa keluar dari tempat kejadian pada kira-kira 11.30 malam tadi sebelum dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan proses pengecaman.

 

Sementara itu wartawan The Rakyat Post, G. Surach melaporkan, mayat mendiang juruterbang Kapten Clifford William Fournier akan dituntut oleh ibu bapanya yang akan tiba dari Amerika Syarikat esok, kata seorang jurucakap HKL.

 

“Kakitangan dari Kedutaan Amerika Syarikat telah datang di Jabatan Forensik dan memaklumkan mengenai segala persiapan yang perlu untuk menyerahkan jenazah,” kata jurucakap HKL itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.