Lapan Gerabak KTMB Tergelincir

Johor Bahru – Lapan gerabak tanpa muatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) tergelincir dari landasan di Jalan Pekeliling, Pasir Gudang di sini, awal hari ini.

 

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Abdul Samad Salleh berkata, kejadian kira-kira 4 pagi itu berlaku ketika keretapi kargo berkenaan dalam perjalanan dari arah Taman Pasir Putih di sini menghala ke Pasir Gudang.

 

“Kejadian tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Abdul Samad berkata kejadian itu menyebabkan halangan lalu lintas di kedua-dua arah Jalan Pekeliling sehinggalah kerja memindahkan gerabak selesai dijalankan.

 

Difahamkan, kerja pemindahan itu bermula pada 11 pagi dan selesai beberapa jam kemudian. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.