Jangan Buat Spekulasi Nahas Helikopter – Zahid

Seri Kembangan – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung nahas yang membabitkan ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Dr. Jamaluddin Jarjis.

 

Kata Zahid, orang ramai seharusnya menghormati keluarga yang baru sahaja kehilangan orang yang tersayang.

 

“Ini soal kematian, jangan lakukan sebarang spekulasi ataupun membuat berita-berita di luar apa yang harus ada.

 

“Tidak kira golongan, parti, organisasi dan individu harus menghormati keluarga,” katanya kepada pemberita ketika menziarahi keluarga arwah.

 

Mengulas lanjut perkembangan siasatan, Zahid memberitahu Polis Diraja Malaysia pada pagi Ahad telah mengepung kawasan nahas.

 

“Pihak polis pada pagi ini mengepung seluruh kawasan kemalangan dan mengambil bukti-bukti lain untuk membantu perincian kepada siasatan berkenaan,” katanya.

 

Menurut Zahid, jenazah bekas Duta Khas ke Amerika Syarikat itu akan dikebumikan di perkarangan luar Makam Pahlawan pada jam 4.15 petang ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.