Jamaluddin Jarjis Selamat Dikebumikan

Kuala Lumpur – Jenazah Ahli Parlimen Rompin, Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis selamat dikebumikan di perkarangan Makam Pahlawan, Masjid Negara, selepas solat Asar.

 

Cuaca mendung tidak menghalang kira-kira 2,000 tetamu kenamaan dan orang awam untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

 

Selain Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, antara kenamaan yang hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Yang Dipertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Mohd Khalil Yaakob; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hassan Malik; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

 

Anak sulung Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, Ikhwan Hafiz (kiri) ketika mengusung jenazah bapanya di perkarangan kediaman mereka di The Mines, Seri Kembangan sebelum dikebumikan.

 

Yang turut hadir Pengerusi Sime Darby Bhd, Tan Sri Abdul Ghani Othman; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

 

Terdahulu, jenazah Jamaluddin yang juga Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) disembahyangkan di Masjid Negara oleh Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail.

 

Jenazah Jamaluddin, 64, sebelum itu turut dibawa ke Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak, Ampang untuk solat jenazah, sebelum dibawa pulang ke kediamannya di The Mines, Seri Kembangan.

 

Van jenazah turut diiringi pasukan tentera Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di bawah naungan markas 12 Briged dan kereta pengiring polis.

 

Dalam kejadian kira-kira 4.55 petang semalam, helikopter jenis Dauphin AS365 Dauphin yang membawa enam penumpang itu dilaporkan meletup di udara sebelum terhempas kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih.

 

Jamaluddin dan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias adalah antara enam orang yang terbunuh dalam kejadian itu.

 

Empat lagi mangsa di dalam helikopter itu ialah juruterbang Kapten Clifford William Fournier; pembantu operasi helikopter Aidana Baizieva; pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan B Seran dan usahawan Datuk Tan Huat Seang.

 

Semua mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang daripada menghadiri majlis kenduri kahwin anak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Pekan, Pahang.

 

Helikopter itu dalam penerbangan dari Kuantan ke Subang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.