Boko Haram Musuh Islam

Cambridge (England) – Presiden Niger menggelar Boko Haram sebagai musuh Islam paling bahaya dan turut memberi amaran bahawa mereka bakal berdepan tentangan hebat daripada Muslim di Afrika Barat yang menolak kekejaman kumpulan militan tersebut.

 

Menurut laporan AFP, Mahamadou Issoufou menegaskan matlamat dan perjuangan Boko Haram telah terpesong daripada landasan Islam.

 

“Mereka bertindak kejam menculik, merogol dan membunuh orang tidak bersalah. Ia sememangnya memburukkan imej Islam,” tegasnya ketika berucap di Universiti Harvard di Massachusetts.

 

Menurutnya lagi, Niger telah mengambil bahagian dalam operasi serantau disertai pakatan tentera dari negara Afrika Barat yang bertujuan untuk memerangi Boko Haram di utara Nigeria.

 

“Penduduk di Nigeria, Niger, Cameroon, Chad dan Benin turut menyokong usaha menyekat kemaraan Boko Haram. Ia jelas menunjukkan penduduk di Afrika Barat menolak ekstremisme dan keganasan,” jelasnya.

 

Dalam perkembangan lain, kumpulan militan, al-Shabab didakwa mengeluarkan ancaman baharu selepas mereka bertindak kejam melancarkan serangan menggemparkan ke atas sebuah universiti di timur Kenya yang turut meragut hampir 150 nyawa.

 

“Kami akan terus melancarkan serangan berdarah sehingga kerajaan menghentikan penindasan ke atas rakyat. Sekolah, universiti, pejabat dan kediaman penduduk bakal menjadi sasaran seterusnya jika tuntutan ini tidak dipenuhi,” menurut kenyataan itu lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.