Usaha ICT Malaysia Diiktiraf Antarabangsa

KUALA LUMPUR – Peserta teknologi, komunikasi dan maklumat (ICT) telah memuji usaha ekonomi digital yang dilakukan di negara ini bagi meletakkan Malaysia sebagai hab ICT di rantau Asia Pasifik.

Dalam satu temubual baru-baru ini, Ketua Eksekutif F-Secure Corporation, Samu Konttinen berkata dasar yang diamalkan kerajaan Malaysia untuk menjadikannya sebagai hab ICT mesra pelabur telah memberikan petanda baik bagi ekonomi negara.

Syarikat yang berpangkalan di Helsinki, Finland itu mempunyai penyelidikan dan pusat sokongan pelanggannya bagi rantau Asia Pasifik di negara ini.

Katanya, syarikat itu menubuhkan pusat Asia Pasifik di Malaysia lebih daripada 10 tahun lalu disebabkan tiga pendorong utama.

“Pertama, memandangkan kami perlu menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan kami sepanjang masa, kami memerlukan cawangan di negara yang mempunyai zon waktu berbeza dengan Helsinki,

“Kedua, kami mahu mencari lokasi yang mempunyai kelompok bakat yang cukup besar, dengan universiti yang baik dan rakyat yang memiliki keupayaan kriptografi, dan ia dijumpai di negara ini dan beberapa negara jiran yang lain.

“Seterusnya, terdapat sokongan yang baik daripada kerajaan dan Pertubuhan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC). Itu adalah penyebab yang memuktamadkan pencarian kami untuk membuka hab Asia di Kuala Lumpur,” katanya.

F-Secure terus bekerjasama dengan MDEC, antaranya dengan mengadakan mesyuarat Anti-Virus Asia Researchers (AVAR) yang berlangsung tahun lalu dan mengumpulkan pelbagai firma sekuriti siber.

Beliau turut meluahkan rasa besar hati kepada MDEC kerana telah membantu F-Secure untuk merealisasikan aspirasi globalnya dan melaksanakan dasar kerjasama awam dan swasta.

Pada masa ini, F-Secure sedang merancang untuk pelancaran produk Radar pada April ini.

Radar adalah produk pengurusan dan pengimbasan mudah terdedah yang canggih serta boleh mengenalpasti dan memulihkan sebarang perkara yang terdedah kepada risiko dalam platform perkomputeran atau aplikasi laman web.

Ia juga sebahagiannya dibangunkan oleh F-Secure di negara ini. Sementara itu, Pengarah Penyelidikan firma penyelidikan antarabangsa, IDC Asia Pacific, Chin Jun Fwu berkata Malaysia mengambil langkah yang betul berhubung ekonomi digital pada masa ini.

“Berdasarkan pemerhatian kami, MDEC bekerja keras untuk menggalakkan perniagaan tempatan untuk mempelajari teknologi baharu seperti BDA dan IOT dan dalam masa sama turut mencadangkan dasar yang betul bagi membolehkan kerjasama awam-swasta ini dilakukan,” katanya.

Naib Presiden MDEC, Norhizam Kadir semasa dihubungi berkata, MDEC menyaksikan lebih banyak perkara menanti di tahun-tahun mendatang.

“MDEC memacu ekonomi digital daripada empat teras. Selain menarik pelaburan baru ke dalam syarikat teknologi di negara ini tahun lalu, kami juga membuat langkah yang hebat dalam melonjakkan ekosistem digital kami dan paling penting, menjadikan ekonomi digital lebih menyeluruh menerusi program eRezeki dan eUsahawan,” katanya.-BH

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.