Saya Tak Terlibat Deklarasi Rakyat – Zaman Khan

Kuala Lumpur – Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Tan Sri Zaman Khan memaklumkan beliau tidak pernah memberi persetujuan untuk turut sama menandatangani Deklarasi Rakyat yang dicetuskan Tun Dr Mahathir semalam, lapor Berita Harian.

 

Sambil menafikan dirinya terlibat dengan sebarang gerakan menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak berundur, Zaman turut meluahkan rasa kesal kerana namanya diheret sama dalam gerakan berkenaan.

 

“Saya tidak tahu apa-apa, saya tidak pernah terbabit dengan deklarasi ini dan (gerakan) Tun Dr Mahathir. Saya hanya tahu (perkara) ini pagi tadi menerusi anak saya,” katanya kepada portal itu.

 

Nama Zaman adalah antara yang disebut menandatangani deklarasi berkenaan dalam majlis di Pusat Alumni Universiti Malaya semalam.

 

Zaman Khan memaklumkan beliau kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan keadaannya stabil.

 

“Malam kelmarin saya dilawati (Presiden PERKASA) Datuk Ibrahim Ali, dan kami memang ada berbincang mengenai perkara ini, saya tahu mengenai deklarasi yang Dr Mahathir bawa, tapi saya tidak terbabit langsung,” katanya.

 

Nama lain disebut dan tidak hadir, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua, bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.