Hishamuddin Lupakan Dosa Dan Kezaliman Mahathir Kerana Najib

Kuala Lumpur – Bekas tahanan ISA yang pernah hidup sebagai pelarian buruan kerajaan, Hishamuddin Rais menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad kerana masa depan negara lebih penting berbanding ‘kisah lama’.

 

Katanya, perbezaan ideologi politik perlu diketepikan bagi mencapai matlamat utama menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

 

“Hal-hal (berbangkit) seperti ISA, kezaliman, ketepikan dahulu. Perkara yang lebih besar adalah untuk menjatuhkan Najib Razak. Ini jelas,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani Deklarasi Rakyat, semalam.

 

“Tiada masalah untuk sepentas dengan Mahathir. Ini bukan soal peribadi, tetapi untuk menyelamatkan Malaysia. Malah saya sempat bertemu dan berbual dengan Siti Hasmah (Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali),” katanya lagi.

 

Kelibat ‘Non-governmental Individual’ (NGI) ini dalam acara semalam sedikit mengejutkan, memandangkan umum mengetahui beliau adalah antara pengkritik Dr Mahathir paling lantang.

 

Beliau mengambil contoh taktik ‘United Front’ (Barisan Bersatu) yang sering digunakan ketika Perang Dunia ke-2 dalam menentang musuh bersama.

 

“Sedangkan Winston Churchill dan Stalin pun boleh bersatu (melawan Hitler). Begitu juga dengan Mao Zedong dan Chiang Kai-shek (melawan Jepun),” kata aktivis dan penulis itu lagi.

 

Dr Mahathir semalam melancarkan gerakan ‘Deklarasi Rakyat’ yang bertujuan mengumpulkan pelbagai pihak yang mahu mendesak Najib meletakkan jawatan.

 

Seramai 58 pemimpin politik dan NGO dengan pelbagai latar belakang hadir menandatangi deklarasi tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.