Warga Nigeria Mati Jatuh Longkang

Kuala Lumpur – Seorang lelaki dipercayai warga Nigeria mati selepas terjatuh ke dalam longkang ketika cuba melarikan diri daripada Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis Diraja Malaysia di Laman Rimbunan, Kepong.

 

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R. Munusamy berkata dalam kejadian jam 9.30 malam Rabu itu, tiga anggota URB yang sedang membuat rondaan di Jalan Laman Rimbunan Raya 1 telah ternampak tiga lelaki warga Nigeria dalam keadaan mencurigakan.

 

Menurut Munusamy, ketika anggota URB memanggil mereka untuk membuat pemeriksaan, hanya seorang sahaja yang menunjukkan pasport manakala dua yang lain bertindak melarikan diri.

 

“Seorang daripada mereka menunjukkan pasportnya manakala dua lelaki telah lari ke arah kawasan berdekatan.

 

“Selepas pemeriksaan anggota URB telah teruskan rondaan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Ketika URB menyambung semula rondaan, mereka telah terserempak dengan dua lelaki Nigeria yang melarikan diri sebelum itu.

 

“Pada masa itu seorang cuba memanjat tembok longkang untuk melarikan diri dan pada waktu yang sama anggota URB mendengar suara orang minta tolong dari parit.

 

“Anggota URB dengan kawan mangsa turun ke longkang yang mempunyai dinding setinggi 15 kaki dan membantu membawa mangsa ke tepi dan hubungi ambulans,” kata Munusamy.

 

Mangsa disahkan mati oleh pasukan paramedik yang tiba tidak lama kemudian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

 

“Mangsa dipercayai seorang Nigeria tetapi tiada pengenalan diri bersamanya.

 

“Kes disiasat sebagai kematian mengejut (SDR). Siasatan masih diteruskan,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.