Skuad Hoki Wanita Berdepan Rombakan

SKUAD hoki wanita negara bakal berdepan rombakan jika gagal mencapai Petunjuk Indeks Prestasi (KPI) yang telah ditetapkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

 

Skuad kendalian Nasihin Nubli Ibrahim perlu meraih kedudukan dua teratas pada kempen Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia (WHL) yang akan bermula di New Delhi, India, Sabtu ini bagi mencapai KPI yang telah ditetapkan itu.

 

Sekiranya berjaya mencapai sasaran tersebut, peluang skuad yang mendapat jolokan The Blue Tigress itu untuk beraksi pada temasya Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil nanti lebih cerah apabila melayakkan diri secara automatik ke pusingan Separuh Akhir WHL di Belgium, Jun depan.

 

Bagaimanapun, jika sasaran itu gagal dicapai, MHC bakal melakukan rombakan dalam usaha memantapkan lagi prestasi skuad wanita negara.

 

Setiausaha Kehormat MHC, Datuk Mohd. Johari Abdul Aziz berkata, pihaknya optimis skuad bimbingan Nasihin itu mampu melakar sejarah baharu buat arena hoki wanita negara di New Delhi nanti.

 

“Saya dimaklumkan skuad wanita tidak pernah melepasi Pusingan Kedua WHL tetapi saya lihat peluang untuk melakukannya tahun ini cukup cerah.

 

“Saya rasa mereka boleh mencapai sasaran dua terbaik seperti yang ditetapkan oleh MHC berdasarkan pencapaian cemerlang yang dipamerkan sebelum ini.

 

“Kalau tidak berjaya (capai KPI), rombakan akan berlaku tetapi kami bukanlah nak tukar jurulatih, cuma ia merupakan langkah untuk memperbaiki kelemahan yang ada dalam skuad hoki wanita.

 

“Mungkin pada Sukan SEA di Singapura nanti kita boleh menang mudah kerana ia bukan gelanggang yang setanding dengan keupayaan skuad hoki wanita negara. Kita mahukan kejayaan pada tahap yang lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

 

Sementara itu, Mohd. Johari juga mengakui sudah tiba masanya The Blue Tigress mengorak langkah menghuni kelompok 20 terbaik dunia memandangkan ketika ini mereka menduduki ranking ke-21 dalam senarai terbaharu yang dikeluarkan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) awal tahun ini.

 

“Sekarang kita berada di kedudukan ke-21 dunia, kalau boleh kita nak skuad wanita negara berada dalam kelompok 20 terbaik.

 

“Peluang itu ada, kalau kita menang Pusingan Kedua WHL mungkin akan dapat kumpul mata untuk mengubah ranking dunia,” jelasnya.

 

Sebagai rekod, skuad hoki wanita negara yang sudah tiba di New Delhi kelmarin, layak ke Pusingan Kedua selepas menjuarai Pusingan Pertama WHL di Singapura, Jun tahun lalu.- KOSMO!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.