Rayuan BR1M Sehingga 31 Mac

PUTRAJAYA – Kerajaan semalam mengumumkan untuk memberi peluang kedua kepada hampir sejuta pemohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang gagal mendapatkan manfaat tersebut supaya mengemukakan rayuan sehingga 31 Mac ini.

 

Timbalan Menteri Kewa­ngan, Datuk Ahmad Maslan berkata, sebanyak 973,067 permohonan telah ditolak oleh pihaknya selepas gagal melepasi saringan yang ditetapkan dan kebanyakannya di­sebabkan pen­dapatan isi rumah melebihi RM4,000 dan orang bujang melebihi RM2,000.

 

Katanya, kerajaan membuat keputusan tersebut selepas khuatir sekiranya terdapat kesilapan pada mana-mana bahagian sehingga berlaku penolakan tersebut.

 

“Sebagai contoh mungkin pekerja kontrak yang diupah oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tersilap menekan nombor atau berlaku kesilapan ketika kita membuat pemeriksaan dengan lapan agensi berkaitan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan bank-bank untuk mengesahkan pemilikan aset dan gaji pemohon.

 

“Sebanyak 1.4 juta pemohon yang lulus namun belum me­nerima wang kerana mereka lewat mengemaskini data peribadi atau melakukannya secara manual, masalah itu akan selesai pada bulan ini.

 

“Pemohon yang mening­gal dunia pada tahun ini juga layak menerima bantuan penuh dan khairat kematian RM1,000 boleh dituntut oleh waris di Bank Simpanan Nasional dengan membawa dokumen berkaitan,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

 

Tambahnya, sebanyak RM5.2 bi­lion diperuntukkan untuk dibayar kepada 7.2 juta penerima BR1M dengan Selangor mencatatkan penerima terbanyak iaitu 1.04 juta, Johor (895,000 penerima), Sarawak (727,000), Perak (722,000), Sabah (647,000) dan Kelantan (513,000) manakala negeri-negeri lain kurang daripada 100,000 penerima.

 

Menurut Ahmad, borang rayuan boleh dimuat turun di laman web https://ebr1m.hasil.gov.my/ namun ia hendaklah dihantar secara manual di kaunter LHDN berserta beberapa dokumen sokongan. – KOSMO!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.